Realiti penjajaran semula ekonomi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kadar inflasi terburuk telah dicatatkan dalam tempoh empat dekad dan tidak mengejutkan ekonomi global akan berdepan dengan cabaran dan sentimen tidak menggalakkan wujud dalam kalangan pengguna di seluruh dunia.

Impak daripada konflik ketenteraan Rusia-Ukraine, inflasi yang meningkat

Ekonomi global pada tahun 2022 mungkin akan diingati dengan dua tema yang berbeza -- inflasi yang meningkat semula dan kemelesetan yang akan berlaku, sebahagian besarnya didorong oleh permintaan pasca pandemik dan perang di Ukraine.

Inflasi meningkat di seluruh dunia, dengan harga makanan dan tenaga mencecah paras tertinggi berikutan konflik Rusia-Ukraine yang berterusan, menjejaskan seluruh pengeluaran makanan dan rantaian bekalan Ukraine, daripada menyemai kepada menuai hingga eksport.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan bahawa antara 20 peratus dan 30 peratus daripada tanah pertanian di Ukraine akan kekal sama ada tidak ditanam atau tidak dituai pada tahun ini berikutan perang.

Dalam tempoh biasa, Ukraine akan mengeksport kira-kira 75 peratus daripada bijirin yang dihasilkan, dengan kira-kira 90 peratus daripadanya dihantar dari pelabuhan di Laut Hitam Ukraine.

Rusia kini menyekat akses ke pelabuhan di Laut Hitam, menghalang Ukraine daripada mengeksport apa yang telah dihasilkannya. Situasi inilah yang telah menaikkan harga gandum dan komoditi lain di seluruh dunia.

Konflik ketenteraan Rusia-Ukraine juga telah menyebabkan lonjakan harga tenaga di seluruh dunia dengan harga minyak kini berada pada paras tertinggi dalam tempoh hampir 14 tahun.

Kenaikan harga bahan api menjejaskan kos pengeluaran dan pengangkutan banyak barangan pengguna, menyebabkan harga naik.

Menjamin sekuriti makanan

Negara-negara di seluruh dunia sedang bergelut dengan sekuriti makanan dan telah tiba masanya untuk Malaysia menyusun semula tumpuannya dalam sektor pertanian; ini merupakan satu kaedah bagi menangani kekurangan makanan serta meredakan kelemahan ringgit.

Pada 2020, Malaysia mengimport barang makanan bernilai RM55.4 bilion (AS$12.67 bilion). Ia bergantung kepada import daging kambing sebanyak 88.8 peratus dan 76.4 peratus daging lembu.

Teknologi menjadi sebahagian daripada ekonomi global pada masa ini dan antara kaedah untuk merevolusikan industri pertanian ialah dengan mendorong syarikat pemula niaga pertanian dari segi penyediaan tanah yang sewajarnya melalui teknologi yang bersesuaian, penggunaan teknik pertanian alternatif berbanding pertanian konvensional serta kepentingan model perniagaan baharu. Ia merupakan asas untuk bermula.

Bagaimanapun, ia perlu disokong melalui penyediaan tanah kepada petani baharu dan latihan vokasional kepada semua.

Langkah tersebut adalah perlu ketika dasar perlindungan kepada makanan semakin meningkat di peringkat global pada hari ini. Pada April, Indonesia mengenakan sekatan ke atas eksport minyak sawit berikutan negara itu berdepan masalah kekurangan minyak masak domestik. Malah, harga yang tinggi telah menimbulkan bantahan di kepulauan berkenaan.

Bagaimanapun, ia menamatkan sekatan eksport minyak sawit pada 23 Mei, menyatakan bekalan minyak masak domestik bertambah baik, tetapi, bukannya sebelum sekatan itu yang telah mengakibatkan ketidaktentuan dalam pasaran minyak makan dunia.

Pada 13 Mei, India selaku pengeluar gandum kedua terbesar dunia turut mengambil pendekatan sama untuk menyekat eksport gandum bagi "menguruskan sekuriti makanan di negara itu secara menyeluruh dan menyokong negara-negara lain yang mudah terjejas.”

Selain itu, Malaysia memutuskan untuk menghentikan eksport ayam bermula 1 Jun sebagai antara langkah bagi memerangi kekurangan bekalan domestik. Bagaimanapun, kerajaan telah menarik balik sebahagian daripada arahan sekatan tersebut pada 15 Jun.

Tekanan inflasi melanda ekonomi

Tiada negara yang terkecuali daripada tekanan inflasi dan terdapat jangkaan bahawa inflasi akan meningkat dalam masa terdekat.

Sebagai contoh, Amerika Syarikat. Kadar inflasi ekonomi terbesar dunia itu meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh empat dekad iaitu 8.6 peratus pada Mei 2022, didorong oleh peningkatan mendadak kos tenaga sebanyak 34.6 peratus tahun ke tahun dan barangan runcit yang melonjak 11.9 peratus pada tahun ini.

Negara lain seperti Switzerland mencatatkan harga pengguna yang lebih tinggi sebanyak 3.4 peratus pada Jun -- lebih daripada apa yang dijangkakan oleh ahli ekonomi -- dan inflasi mencapai 3.0 peratus buat kali pertama sejak Julai 2008.

Negara jiran, Indonesia mencatatkan peningkatan inflasi domestik lebih cepat daripada jangkaan sebanyak 4.35 peratus tahun ke tahun pada Jun, meningkat dengan ketara daripada kadar 3.55 peratus yang dilaporkan pada bulan sebelumnya.

Inflasi di Thailand juga melonjak mencecah paras tertinggi hampir 14 tahun pada Jun sebanyak 7.66 peratus tahun ke tahun, didorong oleh harga tenaga yang lebih tinggi dan juga dipengaruhi oleh kesan asas yang rendah.

Di peringkat domestik, inflasi Malaysia meningkat kepada 2.8 peratus pada Mei 2022 diterajui oleh harga makanan yang lebih tinggi, mencatatkan paras tertinggi baharu sebanyak 5.2 peratus pada bulan itu, tertinggi sejak November 2011.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menegaskan bahawa tanpa subsidi kerajaan, kadar inflasi Malaysia bagi Mei boleh mencapai sehingga 11.4 peratus. Malaysia dijangka mencatatkan bil subsidi terbesar dalam sejarah negara sebanyak RM80 bilion pada tahun ini.

Sementara itu, Indeks Harga Pengeluar negara kekal tinggi pada Mei 2022 dengan pertumbuhan 11.2 peratus tahun ke tahun berbanding 11.0 peratus tahun ke tahun pada April 2022, yang menjadi petunjuk bahawa inflasi boleh terus meningkat dalam tempoh terdekat.

Ahli Ekonomi Moody’s Analytics, Denise Cheok berkata, inflasi di Malaysia dijangka menyaksikan sedikit peningkatan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Bagaimanapun, katanya, inflasi keseluruhan negara kekal rendah berbanding rantau Asia Tenggara.

"Tekanan inflasi semasa lebih berkaitan dengan kebimbangan dari segi penawaran manakala kenaikan kadar lebih kepada mengurangkan tekanan dari segi permintaan. Bagaimanapun, wajar dilihat kepada peranan jangkaan inflasi.

"Bank pusat perlu dilihat menangani inflasi untuk memerangi jangkaan inflasi yang meningkat. Jika jangkaan inflasi tidak terkawal, kita akan menyaksikan kenaikan harga akan sukar untuk dihentikan. Sebahagian kenaikan kadar yang kukuh boleh meredakan kebimbangan ini,” katanya.

Inflasi Malaysia berada antara 2.2 peratus dan 2.3 peratus sejak awal 2022 berbanding negara-negara seperti Singapura, Filipina dan Thailand apabila inflasi melebihi 5.0 peratus. Ini sebahagiannya berikutan subsidi bahan api yang dilaksanakan di Malaysia, yang telah meredakan kenaikan harga minyak global yang tinggi yang mencetuskan peningkatan inflasi di negara lain.

CGS-CIMB Research mengunjurkan inflasi keseluruhan Malaysia kepada purata 3.1 peratus pada 2022 dan 3.2 peratus pada 2023, lebih tinggi daripada purata 2021 sebanyak 2.5 peratus.

Pada Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2022 baru-baru ini, Pengarah Malaysia Venture Capital Management Bhd, Manokaran Mottain berkata, risiko inflasi semasa antara lain disebabkan oleh peningkatan kos bahan mentah.

"Inflasi tolakan kos sedang berlaku sekarang. Anda boleh menaikkan kadar faedah berkali-kali tetapi keberkesanan mengawal inflasi tidak begitu berkesan.

"Saya berharap bank pusat akan berhati-hati untuk menaikkan kadar faedah dalam tempoh beberapa bulan akan datang kerana kita berada dalam senario berbeza pada masa ini,” katanya pada sidang kemuncak itu.

Kemungkinan kemelesetan dalam masa terdekat?

Baru-baru ini, Deutsche Bank dan Citigroup mengingatkan bahawa ekonomi global dijangka menuju ke arah kemelesetan berikutan bank pusat global mengambil langkah untuk menaikkan kadar faedah bagi mengekang inflasi.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata belum ada risiko kemelesetan global.

"Saya tidak fikir ia akan berlaku dalam masa terdekat. Bagaimanapun, kita berada dalam situasi luar biasa kerana pemulihan ekonomi pasca COVID-19 memerlukan bank pusat untuk memperlahankan tindakan tetapi perang yang tidak dijangka di Ukraine telah memaksa bank pusat untuk berada dalam sentimen memerangi inflasi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jika pengguna berhenti berbelanja dan pekerjaan berada di bawah jangkaan, kemungkinan kemelesetan ekonomi boleh meningkat dengan ketara.

Dalam nota penyelidikan baru-baru ini, Moody's Analytics berkata, risiko terbesar terhadap prospek ekonomi ialah keperluan kepada bank-bank pusat Asia Pasifik (APAC) menentuukur normalisasi dasar dengan teliti untuk tidak menaikkan kadar faedah terlalu cepat dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi, mahupun menaikkan kadar terlalu perlahan dan risiko aliran keluar modal dan susut nilai mata wang apabila tebaran dengan kadar faedah AS dan Eropah semakin meluas.

Malaysia menaikkan Kadar Dasar Semalamannya (OPR) pada Mei 2022 sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.0 peratus. Ia dibuat selepas empat pengurangan berturut-turut berjumlah 125 bps antara Januari dan Julai 2020, OPR jatuh kepada paras terendah sebanyak 1.75 peratus.

Bank pusat memutuskan untuk menaikkan 25 bps lagi kepada 2.25 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada Julai. Ini juga merupakan kenaikan OPR berturut-turut pertama BNM sejak pertengahan 2010, apabila kadar faedah dinormalisasi berikutan pemulihan daripada krisis kewangan global 2008/09.

Pada Jun, AS mengumumkan kenaikan kadar faedah paling agresif dalam tempoh hampir 30 tahun sebanyak 0.75 mata peratusan kepada julat 1.5 hingga 1.75 peratus, meningkat daripada sifar pada awal tahun.

Norway dan Sweden menyertai bank pusat lain untuk memilih kenaikan kadar faedah sebanyak 50 bps, melaksanakan langkah mengetatkan dasar yang terbesar dalam tempoh dua dekad. - Bernama