Terengganu FC mara ke suku akhir Piala FA

Pemain TFC, Faiz Nasir meraikan jaringannya ketika berdepan KDA FC pada aksi pusingan kedua Piala FA 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. - Foto MFL
Pemain TFC, Faiz Nasir meraikan jaringannya ketika berdepan KDA FC pada aksi pusingan kedua Piala FA 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. - Foto MFL
A
A
A

SKUAD Terengganu FC (TFC) mara ke suku akhir Piala FA 2022 apabila menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.

Jaringan tunggal pemain lincah TFC, Faiz Nasir pada minit keenam6 sudah cukup untuk mengesahkan kemaraan skuad kendalian Nafuzi Zain itu mengesahkan Terengganu FC (TFC) dalam kelompok lapan pasukan terbaik kali ini.

Beraksi di laman sendiri menyaksikan TFC bermula garang dengan mengasak hebat ke gawang KDA FC sebaik wisel permulaan dibunyikan.

Hasilnya skuad Penyu itu tidak perlu menunggu lama bagi membolosi pintu gol pelawat apabila Faiz Nasir berjaya menanduk gol pembukaan seawal minit ke-6.

Gol berkenaan dilihat semakin menyemarakkan semangat kesebelasan TFC untuk terus mengasak ke pintu gol lawan, namun tiada jaringna tambahan berjaya dihasilkan hingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan TFC semakin menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan dan mencatatkan kemenangan lebih selesa.

Dalam masa sama, KDA FC juga dilihat mula mengatur asakan ke gawang TFC dalam usaha menyamakan kedudukan.

TFC kemudiannya terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pemain pertahanan Pape Abdoulaye Diakite dilayangkan kad merah pada minit ke-51.

Bagaimanapun, KDA FC dilihat gagal memanfaatkan kesempatan berkenaan apabila percubaan-percubaan yang dilakukan ke gawang TFC gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan bagi menyaksikan kedudukan 1-0 kekal hingga ke tiupan wisel penamat.

Kemenangan TFC itu menyaksikan skuad yang terkenal dengan slogan Peteh Ganu Peteh itu bakal berdepan Kuching City FC yang lebih dahulu mengesahkan slot ke suku akhir setelah menewaskan kelab Liga M-3, Perlis United 3-0, 17 Mei lalu.