Melaka United perlu kekal fokus mentaliti kemenangan

Ketua pasukan Melaka United, Sony Norde (kanan) diasak pemain Selangor, Quentin Cheng semasa aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat dekat Krubong.
Ketua pasukan Melaka United, Sony Norde (kanan) diasak pemain Selangor, Quentin Cheng semasa aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat dekat Krubong.
A
A
A

PEMAIN Melaka United FC perlu kekal fokus dan meneruskan momentum kemenangan pada perlawanan seterusnya selepas berjaya menewaskan Selangor FC 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Krubong pada Selasa.

Pemangku ketua jurulatihnya, Mohd Asri Ninggal berkata, kemenangan itu hasil permainan yang baik dan secara kolektif ditunjukkan anak-anak buahnya sebagai satu pasukan.

"Pujian juga harus diberikan kepada mereka yang menunjukkan kesungguhan dalam tempoh 90 minit permainan walaupun kita cuma mempunyai masa dua hari untuk pulihkan kecergasan selepas perlawanan Sabtu lepas.

"Selepas ini kami ada tempoh 15 hari rehat dan ia satu cabaran untuk kami kekalkan prestasi. Melaka United akan bermain di laman sendiri pada aksi seterusnya, jadi saya ingatkan pemain supaya ambil kesempatan kekalkan kemenangan bagi mengutip mata," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini malam tadi.

Terdahulu pada aksi tersebut, dua jaringan pemain import dari Nigeria Ifedayo Olusegun berjaya membantu skuad Sang Kancil meraih tiga mata berharga dengan menundukkan The Red Giants 2-0.

Gol pertama Melaka United itu terhasil selepas beliau menyempurnakan umpanan Sony Norde di depan pintu gawang pada minit ke-39, sebelum Ifedayo terus menambah derita pasukan pelawat pada minit ke-57 menerusi serangan balas pantas dan jaringan tersebut kekal hingga wisel penamat.

Mengulas mengenai prestasi Ifedayo, Mohd Asri berkata, pemain itu telah menyatakan keinginan untuk diturunkan bertemu Selangor walaupun masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan yang dialami.

"Tahap kecergasannya telah dipantau pasukan perubatan dan menunjukkan Ifedayo pada kondisi yang bersedia disenaraikan, ternyata dia telah berjaya memberikan satu persembahan yang bagus," katanya.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Melaka United memperbaiki kedudukan untuk berada di tangga kelapan liga dan berkongsi 12 mata dengan Selangor yang kekal di tangga ketujuh. - Bernama