44 pasukan sahut cabaran MJHL

Anil Sandhu
Anil Sandhu
A
A
A

SAINGAN TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2022 yang membuka tirai pada 13 Julai hingga 28 Ogos ini bakal menampilkan penyertaan sejumlah 44 pasukan.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam kenyataan memaklumkan penyertaan membabitkan 29 pasukan lelaki dan 15 pasukan wanita.

Menurut KHM, pada musim ini kejohanan tersebut turut menampilkan kelainan iaitu setiap pasukan akan beraksi secara timbal balik di stadium hoki di seluruh Malaysia, berbanding musim lalu apabila Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil menjadi venue tunggal kejohanan.

"Juara dan naib juara Divisyen Dua musim lalu iaitu MSNS/SHA Sabah dan Kedah Eagle Jr akan menyertai tujuh lagi pasukan berentap bagi Kategori Lelaki Divisyen Satu, sementara 20 pasukan akan bersaing di Divisyen Dua," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, sejumlah 15 pasukan wanita akan bertanding merebut kejuaraan yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A terdiri daripada lapan pasukan dan Kumpulan B melibatkan tujuh pasukan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Sandhu pada sidang media di Kuala Lumpur berkata, penyertaan pada edisi kali ini merupakan satu petanda baik dan menggalakkan bagi sukan hoki negara.

"Untuk pertama kalinya, KHM menerima penyertaan daripada 44 pasukan yang mungkin didorong oleh faktor penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2022 selain Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia Remaja 2023.

"KHM akan terus mencungkil bakat baharu dan memberikan tugas kepada jurulatih pasukan kebangsaan untuk memantau kejohanan kali ini, selain menyerahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan menilai pemain muda yang boleh diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan," katanya. - Bernama