Sila log masuk terlebih dahulu.

[VIDEO] Kehadiran Haqiem Stopa ke sekolah kongsi pengalaman: Penganjur

Tangkap layar video tular mengenai kehadiran Haqiem Stopa sebagai penceramah di sebuah program motivasi di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur yang mengundang pelbagai reaksi netizen.
Tangkap layar video tular mengenai kehadiran Haqiem Stopa sebagai penceramah di sebuah program motivasi di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur yang mengundang pelbagai reaksi netizen.
A
A
A

SHAH ALAM - Kehadiran influencer media sosial, Haqiem Stopa sebagai penceramah di sebuah program motivasi di sebuah sekolah menengah yang mengundang pelbagai reaksi di media sosial bertujuan untuk berkongsi pengalamannya sebagai seorang yang pernah gagal dalam kehidupan.

Penganjur program Cerita Orang Gagal (COG), Rizan Hasan menjelaskan, program berkenaan merupakan perkongsian individu mengenai memberi peluang kedua kepada diri untuk berkembang melampaui kegagalan masa lalu dan menyesuaikan sikap positif terhadap kemungkinan masa depan.

“COG telah banyak menjelajah ke seluruh negara dengan menampilkan bekas pesalah juvana, bekas banduan, bekas kepulihan dadah dan sesiapa sahaja yang melalui kegagalan yang teruk untuk berkongsi pengalaman hidup.

“Tahun ini COG bicarakan mesej mengenai 'buli itu jenayah' dan kami tampilkan seorang bekas pembuli yang juga mempunyai masa lalu yang negatif kemudian jalani hukuman di Sekolah Henry Gurney. Turut dibawa sama ialah (individu) yang telah dan sedang dibuli di alam maya atau lebih dikenali dengan perkataan 'kecam', salah satu kaedah buli yang popular di kalangan masyarakat kita.

"Di penghujungnya, jika anda dalam kalangan orang berjaya mungkin akan terdorong untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat dan jika anda dalam kalangan yang gagal, akan rasa diri anda tidak keseorangan dalam menghadapi ranjau kehidupan ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Pada Selasa, tular di laman media sosial sebuah video yang memaparkan kehadiran Haqiem Stopa ke sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur untuk berkongsi kisah hidupnya bersama murid sekolah berkenaan.

Video tersebut mendapat pelbagai reaksi warga net yang mempersoalkan tindakan pengurusan sekolah tersebut yang menjemput individu yang lebih dikenali dengan personaliti seorang 'mat rempit'.

Dalam pada itu Rizan menjelaskan, jelajah COG merupakan sumbangan yang diberikan untuk kesedaran anak bangsa.

Artikel Berkaitan:

"Tiada bayaran dikenakan kepada sekolah. Tiada sumbangan yang sekolah berikan kepada saya. Tiada bayaran kepada para penceramah. Hanya minta sekolah sediakan nasi lauk ayam masak merah dan kami gembira sekolah berikan sijil penghargaan kepada kami. Kos perjalanan dan penginapan adalah tanggungan sendiri.

"Yang dah jemput ke sekolah tapi terpaksa batalkannya, saya faham kerana kita di Malaysia memang perlu ada semangat 'Saya Yang Menurut Perintah'. Terima kasih kepada yang memahami perjuangan saya dan menyokong orang-orang gagal untuk kebangkitan," katanya.