Dua lelaki cuba melarikan diri dari polis ditahan

Sebuah kenderaan yang dinaiki suspek rosak akibat melanggar sebuah kenderaan lain di persimpangan Jalan Sungai Besi dan Jalan Dua di sini pada Rabu.
Sebuah kenderaan yang dinaiki suspek rosak akibat melanggar sebuah kenderaan lain di persimpangan Jalan Sungai Besi dan Jalan Dua di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki yang bertindak melarikan diri dan melanggar kenderaan di persimpangan Jalan Sungai Besi dan Jalan Dua di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dua lelaki berusia 33 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.

"Dalam kejadian pada jam 3.10 pagi, anggota unit kereta peronda (MPV) mengejar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota C-HR yang mencurigakan dari Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) ke persimpangan Jalan Sungai Besi dan Jalan Dua," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ashari berkata, kenderaan yang dipandu oleh suspek kemudian melanggar sebuah kenderaan lain.

"Kenderaan yang dinaiki dua anggota MPV turut melanggar kereta suspek sebelum dua kenderaan itu terbabas di tepi jalan," katanya.

Kenderaan MPV polis yang rosak selepas insiden mengejar kenderaan yang dinaiki dua suspek.
Kenderaan MPV polis yang rosak selepas insiden mengejar kenderaan yang dinaiki dua suspek.

Beliau berkata, akibat daripada insiden itu, salah seorang anggota MPV mengalami kecederaan di muka dan mulut.

"Anggota berkenaan telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk rawatan lanjut," katanya.

Ashari berkata, kedua-dua suspek telah ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat bagi membantu siasatan.

"Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Kes disiasat bawah mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan," katanya.