Lembaga Perak FC percaya Yusri Che Lah

Yusri Che Lah
Yusri Che Lah
A
A
A

DI SEBALIK kekalahan dengan PDRM FC tempoh hari, Lembaga Pengarah Perak FC terus memberi kepercayaan sepenuhnya terhadap Ketua Jurulatih, Yusri Che Lah mengurus pasukan.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, pihaknya memahami kekecewaan peminat namun keyakinan perlu diletakkan ke atas pasukan kejurulatihan.

Menurutnya, usaha akan terus dilakukan bagi memastikan Perak FC menjadi pasukan bola sepak yang menjadi kebanggaan peminat.

"Kami yakin bahawa Yusri Che Lah akan melakukan yang terbaik dalam membentuk pasukan yang baru dan menghasilkan pemain yang kompetitif.

"Mereka pasti akan mengekalkan gaya permainan yang pantas dan menarik seperti skuad The Bos Gaurus yang lama," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Azim sangat menghargai sokongan tidak berbelah bahagi peminat dan berharap mereka kembali memeriahkan Stadium Perak pada 16 Julai depan.

Jelasnya, kehadiran peminat amat penting dalam menjadikan Stadium Perak sebagai kubu kuat pasukan The Bos Gaurus itu.