Pelayan wanita kedai air buah ditahan JHEAT

Video tular memaparkan beberapa pelanggan tanpa segan silu memeluk seorang dengan pekerja wanita di sebuah kedai makan yang mengundang kecaman orang ramai.
Video tular memaparkan beberapa pelanggan tanpa segan silu memeluk seorang dengan pekerja wanita di sebuah kedai makan yang mengundang kecaman orang ramai.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah menahan seorang pelayan wanita berkelakuan dan berpakaian tidak sopan di sebuah premis menjual makanan dan minuman di Setiu.

Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, wanita berkenaan ditahan di dalam premis miliknya ketika operasi bersama pihak polis serta Majlis Daerah Setiu pada malam Selasa.

"Keterangan telah direkodkan, beberapa saksi termasuk saksi tambahan akan turut dipanggil bagi membantu siasatan.

"Sebaik siasatan lengkap, kertas siasatan akan dihantar ke bahagian pendakwaan syarie untuk didakwa di bawah mana-mana seksyen, " katanya memetik laporan portal Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Beliau ditemui selepas Program Pelupusan Kiub Abu Al-Quran ke Laut kali 1/2022 bertempat di Jeti Kargo, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur di sini pada Rabu.

M Rozi berkata, pihaknya mengesyorkan kes itu dirujuk mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Beliau menjelaskan, sebelum ini wanita berkenaan telah dipanggil ke pejabat JHEAT untuk diambil tindakan dan diberi nasihat.

"Kedai makan ini memang dalam pemantauan kita sebelum ia tular lagi.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan pun sudah diberi dan ketika itu pelaku tidak mengulangi perbuatan tidak senonoh, namun kali ini ia berlaku kembali," katanya.

M Rozi menegaskan, orang ramai perlu untuk menjaga tatasusila supaya selari dengan ajaran agama Islam.

"Jangan melakukan perbuatan yang tidak bermoral dan jika ada maklumat tentang aktiviti tidak bermoral, sila laporkan kepada kami,"katanya.

Sebelum ini tular di media sosial video berdurasi 34 saat yang memaparkan beberapa pelanggan tanpa segan silu memeluk seorang dengan pekerja wanita di sebuah kedai makan.

Tindakan itu mengundang pelbagai kecaman dan kritikan pengguna media sosial.