'Mujur bumbung tidak hempap 40 penghuni OKU'

Kejadian ribut mengakibatkan bumbung di Pusat Jagaan Warga Istimewa Kempas tercabut.
Kejadian ribut mengakibatkan bumbung di Pusat Jagaan Warga Istimewa Kempas tercabut.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 40 orang kurang upaya (OKU) berdepan detik cemas apabila bumbung Pusat Jagaan Warga Istimewa Kempas di Jalan Banjaran 6, Kempas di sini didiami mereka tercabut diterbangkan ribut pada Rabu.

Pengerusi pusat berkenaan, Jefri Abdul Rahman berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, kesemua penghuni berada di bahagian ruang rehat pusat tersebut.

"Mujur semua penghuni sudah diarahkan masuk ke dalam pusat jagaan ketika hujan lebat kerana selang beberapa minit bumbung di ruang rehat tercabut dan menimpa meja serta kerusi di situ.

"Kami bersyukur kerana semua penghuni pusat jagaan dalam keadaan selamat," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Jefri berkata, kebiasaannya sebelum waktu makan tengahari, penghuni akan berehat di bahagian tersebut bagi mendedahkan mereka kepada cahaya matahari selain melakukan aktiviti harian.

Mengenai jumlah kerugian, beliau memberitahu, kos membaik pulih kerosakan bumbung itu dianggarkan sebanyak RM30,000.

"Kami mengalu-alukan agensi kerajaan atau orang ramai menyumbang dana bagi membolehkan kami menjalankan kerja pembaikpulihan dengan segera," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Pusat Jagaan Warga Istimewa Kempas Johor Bahru Johor menerusi akaun Hong Leong Bank 22800028383.