DBKL bekerjasama dengan agensi antarabangsa tangani banjir kilat

Shahidan Kassim
Shahidan Kassim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bekerjasama dengan pelbagai agensi antarabangsa sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan kesan perubahan iklim serta mengatasi isu banjir kilat di ibu negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, selain Kerajaan Metropolitan Tokyo (TMG), DBKL juga telah bekerjasama dengan Institute For Global Environmental Strategis untuk membantu mencapai sasaran mengurangkan 70 peratus pelepasan karbon menjelang 2030.

"Justerum saya percaya dengan kerjasama dan bantuan daripada TMG, Kuala Lumpur akan dapat merealisasikan visi KL Bebas Banjir menjadi kenyataan,” katanya ketika berucap semasa menerima kunjungan hormat delegasi TMG di Menara DBKL di sini pada Selasa.

Dalam ucapannya, Shahidan turut berkongsi 14 langkah sementara DBKL di bawah Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat 2022 yang telah dilaksanakan Mei lepas di samping menjalankan kajian membina terowong simpanan air bawah tanah berkapasiti tinggi di Kuala Lumpur sebagai penyelesaian jangka panjang.

Sementara itu, DBKL dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan menerima lawatan kerja daripada delegasi seramai 12 orang diketuai Penasihat Khas kepada Gabenor Jepun dalam bidang teknikal daripada TMG, Nakajima Takashi selama dua hari bermula Selasa.

Menurut kenyataan tersebut, lawatan itu antara lain bertujuan sebagai platform untuk berkongsi cara dan pengalaman negara masing-masing dalam melaksanakan pelan tindakan mitigasi banjir, memandangkan situasi banjir di Kuala Lumpur yang sama seperti di Tokyo, disebabkan hujan lebat dalam tempoh singkat dan merosakkan harta benda awam. - Bernama