Sila log masuk terlebih dahulu.

Sektor E&E Malaysia kekal jadi pilihan pelabur asing

Mohamed Azmin Ali - Foto Bernama
Mohamed Azmin Ali - Foto Bernama
A
A
A

PELABUR asing kekal yakin dengan ekosistem produk elektrik dan elektronik (E&E) di Malaysia yang berkembang maju dan rancak sehingga membolehkan penciptaan teknologi di negara ini untuk menghasilkan produk amat diperlukan, kompleks dan berkualiti tinggi, menurut Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, ia dicerminkan menerusi kerjasama teknologi yang baharu dibina dalam industri semikonduktor di antara Silterra Malaysia Sdn Bhd dengan TUYAR Mikroelektronic yang berpejabat di Istanbul.

"(Kerjasama) ini akan memanfaatkan bukan sahaja Silterra, malah peserta E&E lain di Malaysia.

"Kini, Malaysia boleh menghantar pengetahuan teknikal dan kepakaran pembuatan kita untuk membantu Turkiye,” katanya menerusi catatan terkini di akaun Twitter.

Mohamed Azmin adalah antara delegasi yang menyertai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tiba di negara itu pada Selasa bersempena lawatan rasmi selama empat hari.

Beliau menyertai Perdana Menteri dalam mesyuarat bersama Pengerusi Silterra, Tan Sri Syed Zainal Abidin dan Pengerusi TUYAR, Profesor Sezai Elagoz yang diadakan pagi Rabu.

Menerusi catatan di laman media sosialnya, Mohamed Azmin menyifatkan langkah TUYAR dan beberapa syarikat E&E berteknologi tinggi lain yang telah memilih Malaysia sebagai pangkalan operasi dan pemindahan teknologi masing-masing sebagai memberangsangkan, sekali gus menjelaskan mengapa negara kekal menjadi destinasi pelaburan pilihan.

Silterra dan TUYAR telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka kerjasama dalam pembangunan teknologi dan pembuatan dalam industri semikonduktor di mana pembuat cip Malaysia membantu TUYAR untuk membangunkan teknologi asas dan menghasilkannya di Silterra.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Azmin berkata, kerjasama itu akan melibatkan pelaburan berpotensi oleh TUYAR, perintis pembentukan reka bentuk litar bersepadu dan sistem pembuatan di Turkiye bagi proses pembangunan kejuruteraan serta peralatan dan kapasiti bagi menghasilkan wafer untuk syarikat itu.

"TUYAR sedang meneroka teknologi membangun dengan Silterra mengenai kemajuan mikro cip untuk pelan jangka pendek, di mana TUYAR akan mempunyai kepentingan ekuiti dalam Silterra bernilai AS$50 juta-AS$100 juta (untuk melabur dalam barisan peralatan pengeluaran).

"Untuk jangka panjang, Silterra akan membantu TUYAR membangunkan kemampuan tempatan dalam industri semikonduktor di Turkiye,” katanya.

Menurut Mohamed Azmin, kerjasama itu turut memberi kebaikan kepada pengeluar jentera dan peralatan di Malaysia, di samping mencipta peluang kepada vendor tempatan lain, sekali gus meningkatkan nilai kepada rantaian bekalan domestik.

Beliau berkata, Perdana Menteri telah menyatakan minatnya dari segi potensi kerjasama, selain menegaskan bahawa kerajaan menyokong sepenuhnya inisiatif-inisiatif ini melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin berkata, perbincangan yang produktif telah diadakan dengan Dr Tarik Var selaku Ketua Pegawai Eksekutif Istanbul Shipyard peneraju industri pembinaan kapal Turki untuk meneroka peluang perniagaan selanjutnya di Malaysia.

Beliau berkata, syarikat itu sedang meninjau lebih banyak potensi kerjasama dengan penggiat pertahanan dan pembinaan kapal di Malaysia, meliputi kerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan nilai pelaburan yang dicadangkan berjumlah kira-kira RM1 bilion dalam tempoh lima tahun.

"Perdana Menteri telah menegaskan keperluan untuk syarikat-syarikat Malaysia menjalinkan kerjasama dengan rakan niaga yang sesuai bagi membangunkan industri pembinaan kapal di Malaysia.

"Saya menyatakan bahawa inisiatif-inisiatif ini adalah selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional memandangkan kerajaan melalui MITI komited untuk membangunkan ekosistem pembinaan kapal dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan mendorong pemindahan teknologi,” tambahnya. - Bernama