91 babi liar mati di Kemaman

Sampel babi hutan yang mati di kawasan hutan Air Putih, Kemaman diambil bagi mengenalpasti punca kematian. - Foto ihsan JPV Terengganu
Sampel babi hutan yang mati di kawasan hutan Air Putih, Kemaman diambil bagi mengenalpasti punca kematian. - Foto ihsan JPV Terengganu
A
A
A

KEMAMAN - Sebanyak 91 ekor babi liar ditemukan mati di kawasan hutan Air Putih, disini sepanjang tempoh 10 hari bermula 20 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Anun Man berkata, kematian spesies babi liar itu didapati berpunca daripada jangkitan penyakit Demam Babi Afrika (ASF).

"Pihak veterinar telah mengambil sampel bangkai haiwan berkenaan pada 21 dan 22 Jun lalu dan keputusan ujian sampel yang diketahui pada 27 Jun lalu menunjukkan kesemua haiwan itu dijangkiti ASF.

"Setakat ini sebanyak 91 ekor babi liar dikesan mati sehingga 30 Jun lalu," ketika dihubungi pada Rabu.

Jelas beliau, kawasan terlibat telah dinyahkuman dan bangkai haiwan berkenaan telah ditanam mengikut prosedur bagi memastikan ia tidak merebak.

Katanya, JPV Terengganu bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kini membuat pemantauan dan mengambil sampel pada jarak 10 kilometer dari lokasi penyakit itu dikesan bagi memastikan tidak berlaku sebarang penularan ke kawasan lain.

"Kita sedang berusaha untuk meluaskan lagi kawasan bagi mengambil sampel termasuk ke daerah-daerah lain di Terengganu bagi memastikan penyakit ini dapat dibendung dan tidak merebak," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, penularan penyakit yang menyebabkan kematian 91 babi liar itu dipercayai berpunca daripada bawaan air sungai dan binatang buas.

"Banyak faktor boleh menyebabkan penyakit ini berjangkit dan kita percaya kes yang berlaku di kawasan hutan Air Putih di Kemaman berpunca daripada aliran air sungai dan binatang buas.

"Di Terengganu tiada kawasan ternakan babi di ladang komersial. Jadi kita percaya jangkitan ini mungkin menular daripada kes sama yang pernah berlaku di Taman Negara di Jerantut pada Mei lalu," katanya.

Menurutnya, secara normal penyakit itu tidak menjangkiti manusia dan ternakan lain namun ia perlu dikawal bagi mengelak menjangkiti lebih banyak babi yang menjadi sumber makanan binatang buas di dalam hutan.

"Penyakit ini lebih spesifik untuk menyerang babi hutan (liar) dan babi ternakan di mana ia boleh mengakibatkan kematian haiwan itu dalam tempoh yang singkat," katanya.