Kelantan rekod 57 kes jangkitan malaria monyet

Jangkitan malaria monyet atau nama saintifiknya Malaria Knowlesi adalah melalui gigitan nyamuk spesies Anopheles (tiruk) dan penyakit itu juga dikategorikan sama bahaya dengan demam denggi. Foto: 123RF/Gambar kecil: Dr Zaini
Jangkitan malaria monyet atau nama saintifiknya Malaria Knowlesi adalah melalui gigitan nyamuk spesies Anopheles (tiruk) dan penyakit itu juga dikategorikan sama bahaya dengan demam denggi. Foto: 123RF/Gambar kecil: Dr Zaini
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) merekodkan sebanyak 57 kes jangkitan sepanjang tahun ini sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-26 pada 2 Julai lalu.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Husin berkata, daripada jumlah tersebut seramai 43 warga tempatan telah terkena jangkitan tersebut sepanjang tempoh berkenaan termasuk masyarakat Orang Asli.

"Baki selebihnya melibatkan warga asing iaitu Indonesia (empat), Bangladesh (empat), Thailand (tiga), Myanmar (dua) dan Pakistan (satu)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, bagaimanapun JKNK turut merekodkan 11 jangkitan kes 'human malaria'.

Beliau berkata, bagi jangkitan 'human malaria' ia melibatkan sepenuhnya warga asing dari Myanmar.

Dr Zaini berkata, jika kedua-dua kes itu digabung menyaksikan 67 peratus direkodkan melalui industri perladangan, pembalakan, kebun getah dan selebihnya individu yang masuk ke hutan untuk rekreasi, kerja sampingan serta penduduk di pinggiran kawasan tersebut.

"Alhamdulillah, kematian membabitkan kes malaria tidak direkodkan di Kelantan setakat ini," katanya.

Dr Zaini berkata, bagi tempoh yang sama pada tahun lalu, hanya 66 kes sahaja direkodkan.

Jumlah kes pada tahun 2022 juga lebih tinggi berbanding tempoh sama pada tahun 2020 iaitu 53 kes dan lebih rendah pada tahun 2019 iaitu 81 kes.