Malaysia mahu peroleh pengembangan, pelaburan baharu dari Itali

 Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mahu memperoleh pelaburan baharu dan pengembangan pelaburan dari Itali dengan tumpuan khusus kepada bidang potensi baharu bagi pertumbuhan seperti jentera, automasi, aeroangkasa, teknologi hijau, pengeluaran makanan, bioteknologi, farmaseutikal dan industri teknologi tinggi lain serta pelaburan digital.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia mencatatkan pertumbuhan jumlah perdagangan yang ketara dengan Itali iaitu 21.7 peratus tahun lepas, manakala bagi empat bulan pertama 2022, angka itu meningkat hampir 30 peratus tahun-ke-tahun kepada kira-kira AS$1.5 bilion (AS$1=RM4.42).

Beliau berkata, Malaysia ingin menyaksikan lebih banyak pelaburan Itali dalam negara ini dan di rantau ini justeru, tiada sebab mengapa Itali perlu terhenti dengan hanya menjadi rakan dagang ketiga terbesar Kesatuan Eropah bagi Malaysia.

"Malaysia, sudah tentu, gembira untuk menempatkan sejumlah pelaburan Itali.

"Setakat Disember tahun lepas, sebanyak 75 projek pembuatan dengan penyertaan Itali (bernilai AS$363.8 juta) telah dilaksanakan di seluruh negara. Ini telah mewujudkan 4,320 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan di sini,” katanya dalam ucaptama pada Dialog Peringkat Tinggi mengenai Hubungan Ekonomi ASEAN-Itali 2022 di sini pada Rabu.

Mustapa berkata, pelaburan Itali di Malaysia secara amnya dilihat sebagai pelaburan berkualiti yang mewujudkan pekerjaan berkualiti untuk penduduk tempatan.

Katanya, ini memandangkan reputasi Itali sebagai tuan rumah kepada beberapa syarikat multinasional terkemuka dunia serta pengeksport utama barangan mewah.

"Contohnya, syarikat Itali dalam industri fesyen termasuk Prada, Gucci dan Salvatore Ferragamo, sekadar menamakan beberapa sahaja, merupakan jenama isi rumah terutama dalam kalangan orang kaya di Asia Tenggara serta kelas pertengahan kami yang sedang berkembang.

"Selain itu, eksport budaya Itali seperti seni, muzik dan bola sepak pula berperanan mengukuhkan lagi reputasi baik yang anda (Itali) nikmati di rantau kami,” katanya.

Mustapa berkata, Malaysia juga telah membuat komitmen untuk mencapai bebas karbon menjelang 2050, bagi menggalakkan pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di samping berusaha ke arah menjadi ekonomi yang lebih sirkular.

"Sudah pasti saya percaya kita boleh belajar banyak daripada rakan Itali kita mengenai perkara ini. Saya mengambil perhatian bahawa pada Februari tahun ini, kerajaan Itali telah meminda perlembagaan untuk secara sangat jelas memasukkan melindungi alam sekitar sebagai prinsip asasnya,” katanya.

Dialog sehari itu dianjurkan oleh The European House dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Perdagangan Itali.

Ia merupakan acara rujukan di rantau ASEAN untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan strategik antara negara anggota ASEAN dan Itali. - Bernama