Lapan rumah atas air di Pulau Gaya musnah terbakar

Pasukan bomba membuat pemantauan di lokasi kebakaran membabitkan rumah atas air di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, Kota Kinabalu, pada Selasa.
Pasukan bomba membuat pemantauan di lokasi kebakaran membabitkan rumah atas air di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, Kota Kinabalu, pada Selasa.
A
A
A

KOTA KINABALU - Lapan rumah di perkampungan atas air musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, dekat sini, pada malam Selasa.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, tiada mangsa yang terkorban dan semua penghuni rumah berjaya menyelamatkan diri daripada kebakaran itu.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.06 malam.

Katanya, seramai lapan anggota bersama pegawai operasi ke lokasi kejadian yang terletak sejauh tujuh kilometer dengan menaiki bot manakala 15 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) turut berada di lokasi bagi membantu memadamkan kebakaran.

"Kebakaran membabitkan lapan rumah atas air dan enam daripadanya terbakar sepenuhnya manakala dua lagi musnah sebanyak 50 peratus.

"Operasi pemadaman awal dijalankan oleh PBS Pulau Gaya dengan menggunakan satu aliran hos dan sumber air dari kapal pembekal air.

"Operasi terkawal pada jam 12 tengah malam dan ditamatkan 40 minit kemudian. Hasil pemeriksaan juga mendapati tiada mangsa dilaporkan terlibat, " katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Sementara itu, menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, jumlah keseluruhan mangsa yang terjejas sedang dikemas kini namun setakat ini kebakaran membabitkan tujuh keluarga yang terjejas.

"Setakat ini juga tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka kerana semua mangsa tinggal di rumah keluarga terdekat," kata laporan itu.