Bersatu Temerloh tarik penyertaan hampir 300 ahli baharu

Nurul Qomar (depan, tiga dari kanan) bersama Mohd Yusoff (depan, dua dari kanan) ketika dalam sidang akhbar di Temerloh pada Selasa.
Nurul Qomar (depan, tiga dari kanan) bersama Mohd Yusoff (depan, dua dari kanan) ketika dalam sidang akhbar di Temerloh pada Selasa.
A
A
A

TEMERLOH - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang terus giat menarik penyertaan terutama anak muda untuk menyertai parti tersebut.

Ketua Armada Pahang, Nurul Qomar Abdol Talib berkata, ia merupakan terjemahan minat sokongan yang semakin meningkat terhadap parti berkenaan.

Menurutnya, Armada Pahang amat menghargai sokongan dan tidak menoleh ke belakang rentetan polemik dicetuskan oleh mantan Ketua Armada Temerloh, Muhammad Faharuddin Hashim yang mengisytiharkan keluar parti serta menyertai UMNO baru-baru ini.

"Armada ingin maklumkan bahawa, hakikatnya Armada Temerloh telah terbubar sejak persidangan tahunan 2021 kerana tidak memenuhi takluk mesyuarat malah telah direncana penstrukturan semula Armada melalui bahagian selaku penaja.

"Hanya empat ahli yang mengikut beliau (Muhammad Faharuddin) keluar daripada parti bukannya 50 seperti yang didakwa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena sidang akhbar simbolik penyerahan borang keahlian baharu hampir 300 orang penyertaan ahli Bersatu Bahagian Temerloh di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Temerloh, Mohd Yusoff Abdullah, Naib Ketua Armada Pahang, Mohd Fakhrin Abdul Khalib dan Penolong Setiausaha Armada Pahang, Ekmal Taufeq Khalib.

Ujar Nurul, Armada Pahang berbesar hati dengan perkhabaran gembira yang jelas menunjukkan Bersatu dan juga Perikatan Nasional (PN) khususnya semakin menjadi pilihan masyarakat di negeri ini.

"Penyertaan ahli baharu apatah lagi dalam kalangan anak muda yang tampaknya meyakini kebolehan Bersatu - PN dalam memberikan khidmat dan bakti kepada anak negeri Mat Kilau ini.

"Penerimaan sejumlah besar kemasukan keahlian Bersatu yang telah digerakkan beberapa bulan kebelakangan ini menerusi kepimpinan Bersatu Bahagian Temerloh dan sebahagian Jawatankuasa Armada Temerloh bersama-sama Armada Pahang giat diteruskan," katanya.

Tambahnya, Armada Pahang menghargai tanda sokongan tersebut dan akan terus bersemarak memahat iltizam mengorak langkah dalam berbakti dan membawa suara rakyat khususnya di negeri Tok Gajah.