Inisiatif bantu pelajar tangani kenaikan harga barang

Pelajar disediakan makanan percuma melalui program Central Kitchen oleh USIM.
Pelajar disediakan makanan percuma melalui program Central Kitchen oleh USIM.
A
A
A

NILAI - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil pelbagai inisiatif bagi membantu meringankan beban pelajar yang tidak terkecuali terkesan dengan kenaikan harga barang.

Naib Canselor USIM, Profesor Ts Dr Sharifudin Md Shaarani berkata, USIM bergerak membantu pelajar berkeperluan melalui inisiatif jabatan seperti Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pusat Wakaf dan Zakat USIM (PWZ), Pusat Islam dan Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL).

"Antara inisiatif utama USIM dalam membantu pelajar berkenaan isu kenaikan harga barang khususnya dalam kalangan golongan asnaf dan B40 adalah melalui Program Musaadah for Student, Food Bank Asnaf, Food@Campus secara one-off, Central Kitchen, Bantuan Prihatin PRUPEL dan bantuan agihan zakat

"Program Musaadah for Student bertujuan membantu pelajar B40 melalui sumbangan makanan dan wang tunai," katanya dalam kenyataan kepada media pada Rabu.

Katanya, seramai 340 pelajar telah menerima manfaat berkenaan dengan melibatkan jumlah bantuan sebanyak RM24,100.

Tambahnya, program itu merupakan inisiatif tambahan daripada Food Bank Siswa USIM yang telah dilancarkan pada tahun 2019.

"Selain itu USIM dalam usaha untuk melancarkan Food Bank Asnaf yang memfokuskan bantuan makanan kepada pelajar daripada golongan asnaf dan B40 dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM60,000," katanya.

Sementara itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi beberapa inisiatif melalui tagline #UMTPrihatin dan #HEPACakna turut tampil bagi membantu pelajar kurang berkemampuan untuk menangani isu kenaikan harga barangan terutama makanan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, pihak universiti melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) telah mengenalpasti pelajar yang kurang berkemampuan daripada golongan B40 dengan menyediakan Bantuan Dana Siswa dan Dana Asnaf Zakat berupa wang sara hidup.

Katanya, Dana siswa dan Dana Asnaf Zakat berjumlah RM542,165 yang diagihkan sejak Januari sehinggan Jun 2022 telah memberi manafaat kepada 7,324 pelajar yang memerlukan.

"Kita turut melaksanakan pengecualian bayaran sewaan premis kafetaria di dalam kampus selama enam bulan bermula Julai hingga Disember 2022.

"Ia dijangka dapat membantu pengawalan kenaikan harga sekaligus dapat menyerap kos peningkatan harga makanan yang memberi impak kepada pelajar," katanya.