Sila log masuk terlebih dahulu.

Banjir di Baling: Dua LRA dihenti tugas berikutan air mentah keruh

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Kulim Hi-Tech dan LRA Bukit Pinang/Sungai Petani terpaksa dihenti tugas berikutan kadar kekeruhan air mentah (NTU) yang tinggi akibat kejadian banjir dan fenomena kepala air di Baling, Isnin lepas.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Rabu memaklumkan kedua-dua LRA itu dihenti tugas sepenuhnya pada jam 10.50 malam dan 11.10 malam Selasa.

"Penutupan sementara itu akan menjejaskan 80,000 akaun pengguna di Kulim Hi-Tech dan 121,000 akaun pengguna di Pinang Tunggal/Sungai Petani.

"Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan membuat penghantaran air terawat melalui lori tangki kepada kawasan yang terjejas akibat daripada langkah penutupan LRA itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Isnin, banjir dan fenomena kepala air di Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) selain tujuh rumah musnah dihanyutkan air serta kira-kira 70 rumah rosak akibat kejadian itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: