Sesi ‘bercakap depan cermin’ bawa Djokovic ke separuh akhir Wimbledon

Djokovic - Foto EPA
Djokovic - Foto EPA
A
A
A

BINTANG tenis Serbia yang juga pemain nombor tiga dunia, Novak Djokovic menyifatkan sesi ‘bercakap dengan cermin’ pada masa rehat berjaya membangkitkan semangatnya untuk menewaskan pemain muda Itali, Jannik Sinner 5-7, 2-6, 6-3, 6-2, 6-2 ketika aksi suku akhir Kejohanan Wimbledon pada Rabu.

Menurut Djokovic, masa rehat yang diberikan kepadanya untuk ke tandas pada aksi suku akhir berkenaan telah berjaya dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi mengesahkan kemaraan ke separuh akhir kali ini.

“Saya rasa aksi suku akhir kali ini menampilkan dua perlawanan yang berbeza di mana pada dua set pertama dia (Sinner) merupakan pemain yang lebih baik.

“Kemudian, saya diberikan masa rehat untuk ke tandas dan ketika itu saya telah bercakap di depan cermin buat seketika.

“Ternyata ‘sesi bercakap di depan cermin’ itu memberikan saya keyakinan dan bersemangat untuk bangkit pada tiga set berikutnya dan memenangi aksi di suku akhir kali ini,” katanya.

Untuk rekod, Djokovic bakal berdepan pemain Britain, Cameron Norrie yang juga pemain ranking ke-12 dunia pada aksi separuh akhir, Jumaat ini.

Mengulas aksi berdepan Sinner, Djokovic berkata, dia sememangnya berdepan kesukaran pada dua set pertama bagi mengekang asakan-asakan daripada pemain muda berusia 20 tahun itu.

Katanya, Sinner dilihat menguasai gelanggang dengan baik pada dua set pertama dan tidak memberikannya peluang untuk bertindak balas.

“Sinner ternyata seorang pemain yang bagus. Dua set pertama dia berjaya memerangkap saya dengan kerap mengasak dan mematikan langkah saya.

“Namun, setelah saya diberikan masa rehat, saya mula mendapat keyakinan dan ketika itu, saya berjaya memberikan saingan kepadanya hingga berjaya memenangi pertemuan ini,” katanya.