Segerakan bina Rumah Selangorku

Pembeli rumah terlibat mengadakan mesyuarat bersama Adun Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah pada awal Mac lalu bagi mencari penyelesaian terhadap isu ini. (Gambar kecil: SUGUMARAN)
Pembeli rumah terlibat mengadakan mesyuarat bersama Adun Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah pada awal Mac lalu bagi mencari penyelesaian terhadap isu ini. (Gambar kecil: SUGUMARAN)
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 249 orang pembeli Blok E projek perumahan kos rendah di Petaling Utama,PJS1 mendesak supaya Kerajaan Selangor menyegerakan pembinaan Rumah Selangorku seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Blok E PJS1, S. Sugumaran berkata, tawaran pembinaan Rumah Selangorku itu dibuat pada tahun lalu oleh kerajaan negeri sebagai penyelesaian kepada projek pembinaan perumahan kos rendah Blok E yang sebelum ini gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan oleh pemaju.

Sugumaran berkata, menerusi surat oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 28 November tahun lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat yang bersidang telah memutuskan untuk melaksanakan pembinaan Rumah Selangorku sebagai penyelesaian kepada isu kegagalan pembinaan projekl Blok E tersebut.

"Malah pemaju juga dikatakan akan menanggung segala kos pembiayaan bank yang dibiayai oleh 246 pembeli asal Blok E serta segala kos guaman yang terlibat dan turut mengambil kira bayaran deposit lalu.

"Namun sehingga kini sebarang perkembangan projek masih belum berjalan malah pembeli terlibat juga masih belum menerima surat tawaran berhubung perkara itu," katanya.

Pada 2004 lalu, pembeli Blok E telah menandatangani perjanjian jual beli projek perumahan kos rendah berkenaan di mana pembinaannya dikatakan mengambil tempoh masa selama 36 bulan.

Namun difahamkan, sejak 2007, pembinaan Blok E tersebut gagal disiapkan oleh pemaju terlibat sehingga hari ini.

Retetan itu, pembeli asal di Blok E berkenaan telah beberapa kali mengemukakan permasalahan tersebut kepada kerajaan negeri bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil berhubung permasalahan itu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Sugumaran berkata, pihaknya berharap agar pelaksanaan projek Rumah Selangorku itu dapat diteruskan dengan kadar segera memandangkan pembeli asal terlibat telah menunggu selama hampir 15 tahun untuk memiliki kediaman tersebut.

"Kami tidak mahu pisang berbuah dua kali. Dan oleh sebab kerajaan negeri tampil dengan penyelesaian pembinaan Rumah Selangorku, maka kami berharap agar projek ini dapat disegerakan," katanya.

Tambah Sugumaran, pihaknya juga berharap agar Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dapat campur tangan dalam perkara ini bagi membolehkan projek pembinaan itu diteruskan dengan kadar segera.

"Kerajaan perlu faham ada pembeli yang berdepan tindakan bank ekoran daripada permasalahan ini. Dan kita mahukan projek ini disegerakan dengan mendapat campur tangan menteri besar," katanya.