Pantau penerokaan hutan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KERAJAAN perlu sentiasa memantau sebarang penerokaan hutan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Selain itu, pembangunan ladang di kawasan sekitar hutan simpan juga perlulah dilarang oleh kerajaan.

Perkara ini bagi mengelakkan berlakunya kejadian seperti kepala air dan banjir kilat yang menyebabkan kerosakan harta benda serta kehilangan nyawa.

Di samping itu, undang-undang mengenai penerokaan haram hutan simpan dalam negara juga seharusnya diperketatkan.

Ia bagi memberi peringatan kepada peneroka-peneroka haram bahawa tindakan tegas menanti mereka sekiranya melakukan kegiatan seperti ini.

Pada Isnin, hujan lebat selama tiga jam telah menyebabkan berlakunya insiden kepala air serta banjir membabitkan 11 kampung di daerah Baling.

Antara kampung terlibat ialah Kampung Bendang Padang, Kampung Iboi, Kampung Padang Ampang, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Pisang, Kampung Sadik, Kampung Kitang, Kampung Tanjung, Kampung Lata Celak dan Kampung Badak Ampang.

Kejadian itu turut mengorbankan seorang wanita hamil dan ibu mentuanya yang ditemui dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan batang pokok kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka dihanyutkan arus deras.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula berkata, bahawa laporan rasmi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mengesahkan tiada aktiviti pembalakan aktif di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas sehingga mengakibatkan kejadian kepala air dan banjir di Baling, pada Isnin.

Beliau berkata, sebaliknya, terdapat pembangunan ladang hutan di kompartmen lapan, Hutan Simpan Gunung Inas sejak tahun 2019 yang mendapat kelulusan kerajaan negeri Kedah.

Katanya, tujuan pembangunan ladang hutan itu adalah bagi penanaman semula, yang setakat ini melibatkan penanaman lebih 5,000 pokok di kawasan seluas 52 hektar.