Sila log masuk terlebih dahulu.

Terpaksa 'ikat perut' sebab makanan mahal

Mahasiswa adalah antara mangsa akibat kenaikan harga barangan harian pada hari ini. - Foto 123rf
Mahasiswa adalah antara mangsa akibat kenaikan harga barangan harian pada hari ini. - Foto 123rf
A
A
A

KIRA-KIRA 45 peratus daripada 10,220 pengusaha kantin seluruh negara ‘gulung tikar’ susulan pandemik Covid-19, selain tidak dapat menampung kenaikan harga barangan dan ada mahasiswa terpaksa menahan lapar setiap malam disebabkan kos sara hidup yang tinggi.

Mereka adalah antara mangsa akibat kenaikan harga barangan harian pada hari ini.

Tidak dinafikan, isu kenaikan harga barangan keperluan sejak kebelakangan ini dilihat seperti tiada kesudahannya apabila ia mula melibatkan murid-murid sekolah sama ada di sekolah rendah dan menengah, termasuk jugalah di institusi pengajian tinggi (IPT).

Ini kerana pengusaha kantin sekolah dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus IPT awam seluruh negara turut menaikkan harga makanan yang dijual dengan alasan dibebani kenaikan harga barangan mentah serta kos sewa kedai.

Akibatnya, harga makanan yang dahulunya dijual RM1 (di kantin sekolah) kini menjadi RM2 dan ia turut menyebabkan penuntut IPT terpaksa ‘mengikat perut’. Mereka hanya makan sekali sehari dalam usaha untuk berjimat cermat.

Sebelum ini pelbagai bantuan dan program telah dilaksanakan seperti Food Bank Malaysia yang disasarkan untuk masyarakat dan penuntut IPT kurang berkemampuan tetapi persoalannya sampai bila?

Terbaharu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan mulai bulan ini akan memberikan moratorium bayaran sewa selama enam bulan kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus IPT.

Langkah tersebut dilihat dapat membolehkan tanggungan kos sewa itu diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada penuntut.

Artikel Berkaitan:

Ya, sebelum ini langkah yang sama juga telah diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) apabila menangguhkan pembayaran sewa kantin di sekolah-sekolah tetapi ia hanyalah penyelesaian bersifat sementara.

Sehubungan itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad memaklumkan menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 setiap hidangan akan diperkenalkan di bawah inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia, selaras dengan pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menu Keluarga Malaysia

Kerajaan akan memperkenalkan ‘Menu Keluarga Malaysia’ di restoran koperasi, kafeteria dan premis jualan makanan di IPT sebagai alternatif bagi golongan sasar mendapatkan hidangan pada harga berpatutan.

Walaupun rata-rata masyarakat yang merupakan pengguna dinasihatkan perlu bijak membeli barang secara berhemah dan mengamalkan gaya hidup berjimat cermat sebelum berlaku krisis makanan yang serius tetapi adakah ia adil untuk murid serta mahasiswa?

Bagi murid sekolah rendah dan menengah, mungkin mereka tidak perlu memikirkan masalah itu (kenaikan harga barang) kerana bebannya lebih kepada ibu bapa tetapi bagi mahasiswa, mereka pastinya tidak mahu menyusahkan orang tua masing-masing yang dilihat sudah cukup terbeban.

Jika dahulu telur, sardin dan mi segera dianggap makanan untuk golongan marhaen. Itulah menu yang menjadi pilihan mahasiswa yang menyewa di luar kawasan kampus tetapi kini tidak lagi kerana kesemua makanan tersebut turut mengalami kenaikan harga.

Ibu bapa hari ini amat menyedari pengambilan makanan seimbang dalam kalangan murid sekolah dan juga penuntut universiti adalah penting kerana dengan makanan yang sihat, ia dapat menyokong pertumbuhan serta perkembangan anak masing-masing.

Pengambilan diet seimbang juga adalah keperluan yang amat penting bagi melahirkan modal insan cemerlang. Oleh itu, apa yang dimakan, waktu bila mereka makan dan berapa kerap makanan diambil perlulah dititikberatkan.

Bukan itu sahaja, kualiti makanan dan pola makan juga dilihat mempengaruhi mental serta fizikal seseorang murid.

Pengambilan makanan yang berkualiti dan teratur adalah bertujuan untuk membekalkan tubuh manusia dengan zat serta tenaga dan mengekalkan kesihatan badan.

Dengan apa yang berlaku hari ini (kenaikan harga barang), agaknya mampukah ibu bapa dan juga mahasiswa menjaga pemakanan masing-masing?

Mungkin telah tiba masanya kerajaan memikirkan sesuatu dalam usaha memastikan golongan murid dan mahasiswa terjamin kerana merekalah generasi yang akan memimpin negara pada masa hadapan.

* Mariatul Qatiah Zakaria ialah Editor Eksekutif Sinar Bestari