Malaysia Masters: V Shem-Juan Shen kejutkan juara Seluruh England

V Shem-Juan Shen ketika beraksi di pusingan pertama Terbuka Malaysia. - Foto BAM
V Shem-Juan Shen ketika beraksi di pusingan pertama Terbuka Malaysia. - Foto BAM
A
A
A

SELEPAS sering kecewa di pusingan pertama, pasangan beregu professional negara, Goh V Shem-Low Juan Shen berjaya memecah kebuntuan apabila mara ke pusingan kedua Malaysia Masters, pada Selasa.

Pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, pasangan yang kini berada di ranking ke-79 dunia itu bangkit dari kekalahan pada set pertama untuk menang ke atas juara Seluruh England 2022, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dengan keputusan 15-21, 21-14, 21-19 dalam perlawanan yang berlangsung hampir satu jam.

“Akhirnya kami menang juga. Saya sebenarnya sangat gembira walaupun perlawanan hari ini sangat sukar.

“Ketika di set kedua, mereka sedikit tertekan dan kami mengambil kesempatan itu sebaik mungkin," Kata V Shem yang juga merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Tan Wee Kiong.

Untuk rekod, sejak bergandingan pada Oktober 2021, hanya dua kali pasangan profesional ini berjaya melepasi pusingan pertama iaitu di Terbuka Korea 2022 dengan mengalahkan rakan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Lim Khim Wah dan Masters Korea dengan mendapat kemenangan percuma apabila lawan dari India, Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala.

Dalam aksi lain, pilihan kelima dan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah mara ke pusingan kedua apabila mereka mengalahkan wakil Jepun, Akira Koga-Taichi Saito 21-16, 21-19.

Turut mara ialah Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang tidak berdepan masalah untuk mengetepikan pasangan profesional, Nur Mohd Azriyn Ayub-Lim Khim Wah, 21-13, 21-14.

Pasangan muda negara, Chang Yee Jun-Yap Roy King juga mara ke pusingan kedua selepas mengetepikan wakil Ireland, Joshua Magee-Paul Reynolds 21-14, 21-20.

Bagaimanapun, hasrat peminat badminton negara untuk menyaksikan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meloloskan diri ke pusingan kedua tidak kesampaian apabila pasangan berkenaan kalah 14-21, 20-22 kepada pilihan keenam dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Selain Sze Fei-dan Izzuddin turut gagal mara ke pusingan kedua ialah pasangan beregu lelaki profesional Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong yang akur tumpas straight kepada pilihan ketiga dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 18-21, 13-21.

Turut terkandas di pusingan kelayakan ialah Chia Weijie-Low Hang Yee selepas mereka kalah 16-21, 15-21 kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang.