E-hailing dipinda bolehkan orang kelainan upaya dapat lesen PSV

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (dua, kiri) menunjukkan kad diskaun semasa Majlis Pelancaran Kad Diskaun Xtra20 KTM Komuter di KL Sentral hari ini. -Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (dua, kiri) menunjukkan kad diskaun semasa Majlis Pelancaran Kad Diskaun Xtra20 KTM Komuter di KL Sentral hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peraturan e-hailing akan dipinda untuk membolehkan orang kelainan upaya (OKU) mendapatkan lesen pemandu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Loke berkata kementeriannya telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat e-hailing dan akan mempertimbangkan perkara itu.

"Mesej saya kepada komuniti kelainan upaya ialah mereka usah bimbang ... kami sokong hak mereka untuk menjadi pemandu e-hailing agar mereka boleh mengusahakan mata pencarian sendiri.

"Tidak timbul isu tidak membenarkan mereka tetapi peraturan sedia ada perlu dipinda,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Kad Diskaun Xtra20 Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter' hari ini.

Beliau diminta mengulas kekeliruan sesetengah syarikat perkhidmatan e-hailing mengenai pendaftaran lesen PSV untuk OKU.

Sementara itu, Loke berkata mulai esok, penumpang KTM Komuter warga Malaysia akan menikmati diskaun tambang 20 peratus di lima jajaran iaitu Padang Rengas-Butterworth; Butterworth-Padang Besar; Port Klang-Tanjung Malim; Seremban-Batu Caves; dan Sungai Gadut-Tampin.

"Insentif terbaharu yang dikenali sebagai Xtra20 itu dijangka mampu merangsang peningkatan penumpang KTM Komuter pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang.

"Kementerian mensasarkan peningkatan sebanyak 20 peratus pada tahun ini iaitu lebih kurang 90,000 penumpang sehari kepada 108,000 penumpang dan seterusnya tambahan 20 peratus pada tahun hadapan bagi mencapai sasaran 130,000 penumpang sehari dengan konsisten.

Artikel Berkaitan:

"Bagi warganegara Malaysia yang menggunakan sistem transaksi tanpa wang di stesen-stesen komuter, mereka sudahpun menikmati diskaun 20 peratus dan akan mendapat tambahan 20 peratus mulai esok, jadi mereka mendapat diskaun sehingga 40 peratus," katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata mulai Mei atau Jun depan, waktu ketibaan tren KTM Komuter akan dipaparkan secara langsung melalui platform digital data terbuka dan aplikasi telefon bimbit KTMB yang hampir siap dibina. -Bernama