Tiada motif jahat terhadap Syed Saddiq: Saksi

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A
A

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-13 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa, beliau masih berkawan dengan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman malah bertemu dengan Ahli Parlimen Muar itu pada Ramadan lalu.

Bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali berkata demikian ketika perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalah gunakan harta serta pengubahan wang haram di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Rafiq Hakim, 32, berkata, pertemuan itu berlaku pada April, bagi membincangkan projek baju Melayu.

Wan Shaharuddin: Jumpa di mana?

Rafiq Hakim: Saya jumpa di kediaman Yang Berhormat (YB) Syed Saddiq.

Wan Shaharuddin: Ada tak YB beritahu perintah larangan bahawa beliau tak boleh jumpa saksi-saksi?

Rafiq Hakim: Tidak.

Wan Shaharuddin: Dalam kes ini, kamu hadir ke mahkamah bagi pertuduhan kes membabitkan Syed Saddiq, adakah kamu mempunyai motif jahat terhadapnya?

Rafiq Hakim: Tiada, sebab saya datang untuk maklum perkara-perkara yang saya tahu dan semuanya adalah benar.

Dalam pada itu, saksi utama pendakwaan ini berkata, dana dalam akaun Armada Bersatu digunakan untuk ahli-ahli parti dan tidak hanya terhad kepada Syed Saddiq sahaja.

“Ahli-ahli boleh guna, jika mereka mohon,” katanya ketika ditanya sama ada wang dalam akaun parti itu, boleh digunakan oleh ahli untuk jawatan Ketua Armada.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.