Tiada hadiah jam tangan G-Shock

Ikmal Hisham Abd Aziz
Ikmal Hisham Abd Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz menafikan pengunjung yang hadir pada pelancaran Perikatan Nasional (PN) Kelantan Sabtu lalu diberikan jam tangan G-Shock.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan turut menolak laporan sebuah portal berita yang mendakwa kehadiran lebih 30,000 penyokong PN pada majlis itu disebabkan cenderahati berupa jam dan payung.

“Saya turut kesal dengan tohmahan mengatakan orang ramai diberi jam tangan G-Shock yang saya fikir tidak munasabah kerana ia pastinya melibatkan kos cukup besar mencecah berbelas-belas juta ringgit jika mahu diberikan sebagai cenderahati kepada lebih 30,000 pengunjung,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ikmal dalam pada itu turut mencabar mereka yang membuat tuduhan mengemukakan bukti mana-mana individu yang menerima pemberian jam tangan atau payung itu ketika hadir di majlis berkenaan.

Tambahnya lagi, seminggu sebelum acara tersebut, beliau telah menguar-uarkan secara meluas kepada orang ramai khususnya di Tanah Merah bahawa bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin akan hadir bagi melancarkan PN peringkat negeri Kelantan.

“Pada hari berkenaan juga, saya mengumumkan sekali lagi akan berlangsung majlis pelancaran tersebut. Terserah kepada orang ramai yang hadir di mesyuarat berkelompok Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah di lokasi yang sama untuk menghadiri pelancaran berkenaan atau pulang.

“Bagaimanapun orang ramai tidak berganjak, malah lebih ramai yang datang. Kehadiran mereka adalah secara sukarela dan bukannya terdapat pemberian jam tangan G-Shock atau payung seperti mana didakwa," katanya.

Beliau percaya kehadiran mereka adalah bagi menghargai Tan Sri Muhyiddin yang banyak jasanya kepada rakyat ketika menguruskan pandemik Covid-19 semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Mengenai hadiah cabutan bertuah, Ikmal berkata dalam banyak program melibatkan rakyat kebiasaannya ada acara seumpama itu bagi memeriahkan majlis.

"Perlu difahami jika program atau penganjurnya tidak disukai oleh rakyat, betapa besarpun hadiah yang disediakan orang ramai tetap tidak akan hadir," ujarnya.

Beliau turut mempelawa mana-mana pihak menganjurkan apa-apa majlis di Tanah Merah dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah lebih hebat bagi membuktikan sama ada mereka mampu atau tidak menarik kehadiran lebih 30,000 orang.