Lapan syarikat terlibat tipu bidaan dikenakan penalti RM1.54 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti kewangan berjumlah RM1.54 juta terhadap lapan syarikat kerana terbabit dalam aktiviti tipuan bida melibatkan perolehan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya MyCC, Iskandar Ismail berkata, syarikat terbabit didapati membentuk dua kartel untuk memanipulasi tender empat projek berkaitan teknologi maklumat (IT) Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bernilai RM1.92 juta.

Beliau berkata, siasatan dijalankan sejak 2017 selepas menerima aduan daripada Aswara sebelum semakan menyeluruh MyCC mendapati perlakuan lapan syarikat itu merupakan pelanggaran di bawah Seksyen 4(1) yang dibaca bersama Seksyen 4(2) Akta Persaingan 2010.

"Ini kerana penglibatan mereka dalam siri perjanjian antipersaingan tipuan bida atau amalan bersepadu yang melibatkan projek perolehan Aswara.

"Kesemua syarikat ini bersekongkol untuk menipu kerajaan dan memanipulasi tender supaya mereka boleh menang (tender dan sebut harga perolehan kerajaan),” katanya dalam sidang media di pejabat MyCC di sini pada Selasa.

Iskandar berkata, prosedur perolehan awam ditetapkan untuk memastikan berlakunya pembidaan kompetitif dalam kalangan pembida dan syarikat mempunyai kewajipan untuk bertindak secara bertanggungjawab.

Beliau berkata, pembida yang berminat hendaklah menyediakan dan menyerahkan tawaran mereka secara bebas antara satu sama lain dengan tender.

Katanya, sebut harga yang dikemukakan hasil daripada pakatan sulit atau kerjasama antara pembida untuk tender yang sama akan menyekat persaingan sehingga menimbulkan tanggapan palsu bahawa proses perolehan adalah adil.

"Kelakuan syarikat tersebut akan memudaratkan proses persaingan dan menyebabkan kerugian kepada kerajaan, sekali gus mengakibatkan ketirisan kepada dana awam,” katanya.

Iskandar berkata, selain denda, lapan syarikat itu juga boleh dikenakan tindakan di bawah Pekeliling Integriti dalam Perolehan Awam (PK 1.6) dibaca bersama dengan Pekeliling Ketidakpatuhan dalam Perolehan Awam (PK 8) oleh Kementerian Kewangan yang berkuat kuasa 1 Jun lepas.

Di bawah tindakan itu, individu atau perusahaan yang didapati terlibat dalam perlakuan tipuan bida dalam perolehan awam boleh digantung pendaftaran untuk tempoh maksimum sehingga lima tahun, disenarai hitam dan dilarang daripada menyertai atau menerima sebarang tawaran perolehan yang dikeluarkan oleh agensi kerajaan sepanjang tempoh penggantungan itu berkuat kuasa.

"Keputusan ini mencerminkan komitmen MyCC untuk terus membanteras perusahaan yang bersekongkol untuk mengurus dana awam melalui aktiviti tipuan bida,” katanya. - Bernama