Pimpinan PH boleh terima teguran

Anwar (kanan) berkata sesuatu kepada Mukhriz (dua, kiri) ketika hadir perasmian penutup Konvensyen PH Kedah.
Anwar (kanan) berkata sesuatu kepada Mukhriz (dua, kiri) ketika hadir perasmian penutup Konvensyen PH Kedah.
A
A
A
ALOR SETAR - Penyesuaian atau penangguhan berhubung keputusan yang dibuat oleh menteri Kabinet sebelum ini dalam beberapa isu setelah didesak rakyat, bukanlah menggambarkan kelemahan, sebaliknya kekuatan dalam kerajaan PH.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia menunjukkan pimpinan kerajaan PH tidak sombong dan boleh menerima pandangan pihak luar, khususnya rakyat.

Menurutnya, teguran atau pandangan yang munasabah boleh diterima dengan baik untuk penambahbaikan sistem pentadbiran negara.

“Adakah ia suatu kelemahan jika kita lakukan penyesuaian atau tangguh sesuatu keputusan yang telah diumum. Bagi saya ia kekuatan, menunjukkan kita tidak sombong, untuk menyatakan apa yang kita umum itu sempurna,” katanya, pada sidang media, selepas Konvensyen PH Kedah, di Seri Mentaloon.

Hadir sama, Pengerusi PH Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Anwar berkata, teguran yang memberi input untuk penambahbaikan dalam sesuatu isu adalah positif, malah penghargaan wajar diberikan kepada pemimpin yang sanggup menerima pandangan.

“Mungkin ada anggap pemimpin itu tidak tegas, bagi saya tidak kerana kadang-kadang selepas dibincang, aspek lain pula berbangkit kemudian,” katanya.

Sebelum ini, beberapa menteri kabinet dilihat menarik kembali keputusan dibuat atau menangguhkan keputusan setelah mendapat desakan banyak pihak. Ia memberi gambaran pimpinan PH tidak konsisten.

Mengulas mengenai keputusan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menangguhkan sistem bayaran balik pinjaman fleksibel (ICLR) kepada peminjam Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), katanya, keputusan itu merupakan langkah yang baik.
Artikel Berkaitan:


Langkah penangguhan itu diambil buat sementara sehingga pihaknya menerima input dan maklum balas kolektif daripada pihak berkepentingan.

“Saya sambut baik keputusan itu, beliau ambil kira keresahan peminjam kerana menerusi perkiraan itu, ada yang membayar lebih berbanding dulu,” katanya.

Mengulas isu membabitkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Anwar yakin akan wujud penyelesaian terbaik selain menyifatkan beberapa pelanggaran peraturan melibatkan agensi itu harus diperbaiki.

“Program ini saya yang mulakan dahulu untuk bantu rakyat dan peniaga kecil. Pelanggaran itu harus diselesaikan tanpa jejaskan kepentingan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin dalam sidang Dewan Rakyat berhubung kerajaan akan memulakan prosedur pembatalan Sijil Pemerbadanan AIM kerana tidak memenuhi syarat-syarat Suratcara Ikatan Amanah terutamanya dalam penubuhan anak-anak syarikat.