Warga polis Selangor disaran laksana taksiran zakat

Warga polis Selangor disarankan memanfatkan sebaiknya program taksir zakat bagi menentukan nilai sebenar kadar zakat yang perlu ditunaikan.
Warga polis Selangor disarankan memanfatkan sebaiknya program taksir zakat bagi menentukan nilai sebenar kadar zakat yang perlu ditunaikan.
A
A
A

SHAH ALAM - Warga polis Selangor disaran untuk melaksanakan taksiran zakat bagi mengetahui kadar zakat sebenar yang perlu ditunaikan bagi memenuhi tuntutan rukun Islam keempat itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kadar taksiran amat penting dalam mengetahui jumlah yang perlu ditunaikan berdasarkan kadar pendapatan yang diterima.

"Zakat merupakan satu kewajipan yang perlu ditunaikan oleh setiap umat Islam yang berkemampuan, dan pada saya, kesedaran untuk menunaikan zakat ini amat penting.

"Zakat bukan sahaja meliputi kepada zakat fitrah, malah ada banyak kategori zakat seperti zakat harta, zakat pendapatan dan sebagainya, jadi menjadi kewajipan kita untuk menunaikan sekali gus memastikan setiap rezeki yang diperoleh itu membawa kepada keberkatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran jelajah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor sempena bulan taksir zakat 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.

Katanya, jelajah ini bermula pada 20 Jun lalu sehingga 21 Julai melibatkan semua IPD di Selangor.

Arjunaidi (kanan) ketika merasmikan majlis pelancaran jelajah PDRM Selangor sempena bulan taksir zakat 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam pada Selasa.
Arjunaidi (kanan) ketika merasmikan majlis pelancaran jelajah PDRM Selangor sempena bulan taksir zakat 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam pada Selasa.

"Seramai 317 peserta dari tujuh IPD telah terlibat dalam jelajah ini.

"Jelajah ini bertujuan memberi pendedahan berkenaan rukun Islam keempat itu sebagai salah satu jalan penyucian harta dan jiwa serta mengeratkan hubungan ukhwah," katanya.

Menurutnya, program ini seharusnya dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh warga polis Selangor.

"Saya berharap agar warga polis Selangor memanfaatkan sebaiknya peluang ini, saya percaya ramai di antara kita yang tidak tahu kadar sebenar nilai zakat yang perlu dibayar.

"Jadi dengan adanya taksiran ini, ia akan menentukan nilai sebenar kadar zakat yang perlu ditunaikan, jadi saranan saya gunakan peluang yang ada ini sebaiknya," katanya.