Ahli perniagaan tubuh parti baharu, sedia tanding PRU15

Ibrahim (dua dari kiri) memaklumkan sesuatu kepada pemberita selepas selesai sidang akhbar sempena menandatangani MOU antara BPN dan Pemanah di sebuah hotel di Kuantan pada Selasa.
Ibrahim (dua dari kiri) memaklumkan sesuatu kepada pemberita selepas selesai sidang akhbar sempena menandatangani MOU antara BPN dan Pemanah di sebuah hotel di Kuantan pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Sekumpulan ahli perniagaan menubuhkan parti politik baharu dikenali Barisan Penyatuan Nasional (BPN) dan bersedia bertanding di 222 kerusi Parlimen seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden BPN, Ibrahim Yahaya berkata, pendaftaran bagi penubuhan parti itu sudah dibuat dan kini menunggu kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

"Saya difahamkan proses pendaftaran parti sudah memasuki fasa akhir. Jadi, selepas pendaftaran selesai kita bersedia untuk bertanding di semua 222 kerusi Parlimen di seluruh negara.

"Kita buat keputusan bertanding ini dengan menggunakan dana sendiri dan ia tidak melibatkan peruntukan daripada mana-mana parti politik dalam negara.

"Malah, kita juga menerima penyertaan daripada semua bangsa. BPN juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MOU) antara BPN dan Pertubuhan Maju dan Amanah (Pemanah) di AC Hotel di sini pada Selasa.

Ibrahim menjelaskan, parti yang ditubuhkan itu memperjuangkan agenda pengukuhan ekonomi rakyat dan memastikan masyarakat tidak terbeban dengan kos sara hidup.

Ibrahim
Ibrahim

Menurutnya, beliau serius mahu menyelesaikan isu-isu seperti makanan asas dan menyusun strategi untuk mengatasi pelbagai masalah rakyat.

"Kita mahu membela nasib rakyat, kita lihat politik sekarang kucar kacir dan rakyat dibiarkan serta dihimpit dengan tekanan hidup termasuk inflasi makanan dan harga yang melambung.

"Jadi, kita akan memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada persefahaman antara BPN dengan Pemanah," ujarnya.

Ibrahim berkata, antara manfaat tersebut termasuk penyediaan rumah secara percuma kepada isi rumah berpendapatan RM1,500 ke bawah, penyediaan pasar raya, bantuan menunaikan ibadat haji dan umrah selain bantuan perubatan serta bantuan kepada orang kurang upaya (OKU).