Putus kerjasama dengan PH mudahkan Warisan buat keputusan

Awang Ahmad
Awang Ahmad
A
A
A

KOTA KINABALU - Keputusan Parti Warisan (Warisan) memutuskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) adalah bagi memastikan supaya parti itu lebih mudah membuat keputusan untuk bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Sabah serta di Semenanjung.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari berkata, sebelum ini Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ada membuat kenyataan bahawa Warisan sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan politik yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memastikan kestabilan politik dan menjaga kepentingan rakyat negara ini.

Katanya, susulan kenyataan itu, banyak respons yang dilontarkan pelbagai pihak termasuk pemimpin parti politik dan orang ramai selain menjadi topik perbincangan hangat di media sosial.

"Ramai yang menyokong namun ada juga segelintir pihak yang telah menyalah tafsir kenyataan itu.

“Saya ingin menjelaskan bahawa ketegasan Warisan untuk memutuskan kerjasama dengan PH bukan kerana tidak suka dengan PH.

"Keputusan ini adalah bagi memastikan Warisan lebih mudah membuat keputusan untuk bertanding di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seluruh kawasan Parlimen di Sabah serta beberapa kawasan Parlimen di Semenanjung," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Awang Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas berkata, Warisan mendapati bahawa rakyat Sabah mahu parti tempatan Sabah untuk memegang tampuk pemerintahan dan seterusnya mentadbir negeri ini.

"Sentimen ini amat jelas kelihatan di Sabah dan kesedaran rakyat untuk memilih parti tempatan semakin meningkat.

“Ini ditunjukkan dengan jelas dalam keputusan Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Sabah pada September 2020 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) hanya menang 14 kerusi DUN manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), meraih 11 kerusi DUN, menjadikan 25 kerusi DUN yang dikuasai kedua-dua parti atau hanya kira-kira satu per tiga daripada jumlah keseluruhan 73 kerusi DUN Sabah," katanya.

Tambah Awang Ahmad lagi, pada PRN Sabah 2018, BN hanya berjaya memenangi 27 kerusi DUN daripada jumlah keseluruhan 60 kerusi DUN Sabah iaitu kurang daripada 50 peratus.

"27 kerusi DUN yang dimenangi BN itu termasuklah beberapa kerusi yang dimenangi parti tempatan seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

"Warisan menjangkakan trend sokongan yang kian berkurangan kepada parti politik luar akan berterusan kerana rakyat Sabah sudah semakin bijak dan berani membuat keputusan untuk memastikan politik Sabah kekal stabil dan dikuasai oleh parti parti politik tempatan yang berintegriti," katanya.

Katanya, setakat ini, Warisan telah beberapa kali menawarkan diri untuk menjalin kerjasama dengan PBS untuk menghadapi PRU15 yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

"Sama-sama kita nantikan sama ada PBS bersetuju atau tidak untuk bekerjasama dengan Warisan.

"Ramai pemimpin dan penyokong akar umbi PBS dan Warisan amat bersetuju dengan jajaran politik baharu ini," katanya.

Jelas Awang Ahmad lagi, PRN dan PRU yang akan datang bukan sekadar mahu berkuasa tetapi lebih ke arah memperbetulkan hala tuju negara selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).