Ringgit dijangka akhiri tahun 2022 lebih kukuh

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

NILAI ringgit diunjur meningkat lebih kukuh pada suku keempat tahun ini, didorong oleh pertumbuhan yang bertambah baik di China serta jangkaan pemberhentian seketika dalam kenaikan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat selain pemulihan mantap ekonomi Malaysia.

Mata wang itu yang kini berlegar pada paras RM4.40 berbanding dolar AS, dijangka mengukuh kepada RM4.25 pada akhir tahun ini, kata MIDF Research.

"Pada asasnya, ringgit berada dalam kedudukan yang baik kerana ekonomi domestik kekal pada momentum yang memberangsangkan, dan sebagai pengeksport bersih petroleum mentah, gas asli cecair dan minyak sawit, Malaysia akan mendapat manfaat daripada kenaikan harga komoditi global,'' katanya dalam satu nota penyelidikan.

Berbanding mata wang dolar AS, purata nilai ringgit diunjur lemah daripada RM4.15 untuk setiap AS$1 tahun lepas kepada RM4.28 pada 2022.

Walaupun menyusut nilai berbanding dolar AS, ringgit mempamerkan prestasi yang lebih baik daripada mata wang utama lain dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2022.

Unit tempatan itu menokok 8.4 peratus berbanding yen Jepun, naik 5.4 peratus berbanding euro, kukuh 3.0 peratus berbanding dolar Australia dan meningkat 1.7 peratus berbanding pound Britain.

Namun begitu, rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes pula berpendapat mata wang ringgit akan diniagakan pada julat RM4.45 berbanding dolar AS sebelum mengakhiri tahun ini pada RM4.35.

Ditanya mengenai potensi ringgit bergerak ke paras RM4.20, Innes berkata, ringgit tidak mungkin mengukuh melebihi paras RM4.20 berbanding dolar AS dalam masa terdekat ini memandangkan dolar AS masih lagi menjadi rebutan, lebih-lebih lagi dengan jangkaan rentak kenaikan kadar faedah yang lebih pantas oleh Amerika Syarikat.

Pakar Ekonomi Kanan UOB Malaysia, Julia Goh turut memberikan unjuran yang lemah untuk ringgit iaitu pada RM4.46 berbanding dolar menjelang akhir suku ketiga dan RM4.48 pada akhir suku keempat tahun ini di tengah-tengah risiko penurunan akibat keraguan terhadap pemulihan ekonomi China berserta nilai Yuan yang semakin lemah.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Juwai IQI Global, Shan Saeed berkata Rizab Persekutuan (Fed) akan terus mengetatkan kadar diskaun kerana prospek inflasi kekal kukuh di AS.

"Fed dijangka meletakkan kadar antara 2.5 peratus dan 3.25 peratus menjelang akhir tahun. Mereka masih cenderung untuk menaikkan kadar bagi separuh kedua 2022.

"Kami menjangkakan Fed akan mengubah haluan dan memulakan pelonggaran kuantitatif (QE5) tahun depan kerana ekonomi maju tidak dapat menerima tekanan kadar faedah yang lebih tinggi selepas situasi Covid-19,” katanya kepada Bernama.

Di dalam negara pula, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan kadar dasar semalaman ((OPR) antara 2.25 peratus dan 2.50 peratus menjelang akhir tahun sejajar dengan jangkaan pasaran.

Beliau berpendapat bank pusat akan mempunyai pendekatan berstruktur dalam menaikkan kadar.

"Dalam tempoh dua tahun lepas, BNM telah berjaya mengharungi cabaran Covid-19 dengan bijak menggunakan dasar monetari untuk meningkatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada peringkat makro.

''Jika kita menganalisis bank-bank pusat global, 39 bank pusat telah menaikkan kadar tahun ini untuk membendung inflasi. Ekonomi global sedang menuju ke rejim kadar faedah yang lebih tinggi untuk tempoh dua hingga tahun akan datang," katanya.

Pada 11 Mei, bank pusat memutuskan untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.0 peratus daripada rekod terendah 1.75 peratus selepas tekanan inflasi global meningkat dengan mendadak.

Namun begitu, menurut Innes BNM tidak perlu terlalu mengikuti langkah Amerika Syarikat untuk meningkatkan kadar faedah secara agresif dalam langkah untuk mengurangkan inflasi.

Ketua Ekonomi Maybank Investment Bank Bhd Suhaimi Ilias pula berkata kenaikan 100 mata asas dalam OPR dijangkakan untuk tempoh 12 bulan ini.

Maybank IB telah menyemak semula secara menaik unjuran kadar inflasinya untuk tahun ini kepada 3.4 peratus daripada 2.7 peratus sebelumnya dan meningkatkan unjuran kadar inflasi bagi tahun 2023 kepada 4.1 peratus daripada 2.5 peratus.

Sebagai rekod, AS telah meningkatkan Kadar Dana Persekutuannya sebanyak 125 mata asas (50 mata asas pada bulan Mei dan 75 mata asas pada bulan Jun), lebih agresif daripada yang dijangkakan, sekali gus mencetuskan lagi kebimbangan bahawa ekonomi AS akan jatuh ke dalam kemelesetan.

Ini terutamanya kerana satu lagi kenaikan 200 mata asas dijangka pada separuh kedua tahun ini, menurut MIDF Research.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Dasar Monetari BNM sedang mengadakan mesyuarat kali keempatnya untuk tahun ini. - Bernama