Majikan selesai cara baik bayar tunggakan gaji amah

Majikan kepada pembantu rumah warga Indonesia melunaskan tunggakan gaji berjumlah RM74,600 di kediamannya di Ampang, Selangor pada 21 Jun lalu.
Majikan kepada pembantu rumah warga Indonesia melunaskan tunggakan gaji berjumlah RM74,600 di kediamannya di Ampang, Selangor pada 21 Jun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tunggakan gaji ke atas dua pembantu rumah akhirnya diselesaikan secara baik selepas majikan masing-masing membayarnya di kediaman mereka baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor, Ahmad Mudi Onn Nor berkata, kes pertama membabitkan mangsa pembantu rumah wanita warga Indonesia berusia 54 tahun.

Katanya, serbuan di rumah majikan terbabit telah dijalankan sepasukan anggota Unit Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) JTK Selangor di Klang pada 25 April lalu.

"Majikannya merupakan pesara guru berusia 69 tahun mendakwa tidak membayar gaji pekerjanya atas alasan menyimpan wang gaji itu sehingga pekerjanya pulang ke negara asal. Namun, pemeriksaan tidak menemui bukti terbabit.

"Susulan itu, atas arahan lanjut pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR), penyelesaian gaji tertunggak berjumlah RM34,100 telah diselesaikan secara baik pada 15 Jun lalu," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sementara itu, bagi kes kedua, sepasang suami isteri berusia 62 dan 59 tahun telah menyelesaikan tunggakan gaji sebanyak RM74,600 kepada pembantu rumahnya seorang wanita Indonesia.

Jelasnya, serbuan telah dilaksanakan di kediaman pasangan terbabit di Ampang, Selangor pada 21 April lalu.

"Pasangan terbabit akhirnya menyelesaikan secara baik tunggakan gaji itu pada 21 Jun lalu," katanya.

Tambahnya, kedua-dua pembantu rumah ini telah dihantar pulang ke negara asal pada penghujung bulan Jun lalu.