Khazanah Nasional laksana strategik Memajukan Malaysia: PM

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan keyakinan terhadap pelaksanaan perancangan strategik dana kekayaan berdaulat Malaysia - Khazanah Nasional Bhd pada masa hadapan terutamanya dengan pelancaran inisiatif Memajukan Malaysia.

"Meskipun Khazanah tidak menjangkakan perniagaan sektor-sektor utama seperti penerbangan dan pelancongan akan mencatatkan pemulihan sebelum tahun 2023, saya yakin Khazanah berupaya mengatasinya dengan pantas dan dapat memastikan perniagaan kekal mampan dalam tempoh jangka panjang.

"Saya gembira kerana prestasi keseluruhan Khazanah pada tahun kewangan 2021 adalah baik meskipun berdepan dengan kekangan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga berkurangnya aktiviti ekonomi di peringkat global," kata Ismail Sabri yang juga pengerusi Khazanah menerusi perutusannya yang terkandung dalam Laporan Khazanah 2021 yang dikeluarkan Isnin.

Beliau menambah, betapa pentingnya hubungan kukuh dan peranan pihak berkepentingan dalam membolehkan Khazanah mencapai pertumbuhan yang mampan semasa pandemik Covid-19.

"Saling kebergantungan organisasi dan ekosistem mereka yang bertambah penting apabila berlakunya pandemik, telah dibuktikan melalui hasil yang diraih daripada kerjasama pelbagai pihak berkepentingan," katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dalam laporan itu berkata, Memajukan Malaysia adalah tema yang mentakrifkan strategi Khazanah secara lebih komprehensif tentang cara ia menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh pemegang kepentingan utamanya iaitu kerajaan, sektor swasta dan komuniti.

Beliau menjelaskan, syarikat menyasarkan untuk memacu dan memangkin bidang pertumbuhan baharu untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya tahan dan berdaya saing melalui Dana Impak, dengan komitmen RM6 bilion untuk sektor pemangkin.

"Inisiatif ini akan mempunyai komitmen kewangan khusus untuk diselaraskan dengan agenda negara dan akan dipandu oleh sasaran hasil yang ditetapkan seperti meningkatkan pendapatan isi rumah, menambah baik pelbagai inisiatif sosioekonomi, dan menggalakkan penglibatan sektor swasta," katanya.

Amirul Feisal berkata, Khazanah juga akan mengukuhkan peranannya sebagai peserta korporat yang aktif dan terus menjadi pelabur global untuk mengembangkan portfolio sambil mencari peluang untuk memudahkan aliran pengetahuan, rangkaian dan peluang pelaburan ke Malaysia.

"Menerusi pelaburan kami di luar negara, kami juga telah membina hubungan yang kukuh untuk Khazanah dan Malaysia, yang sekali gus telah meningkatkan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara progresif yang mengambil bahagian secara bermakna dalam ekonomi global dan komuniti pelaburan," katanya.

Menerusi Memajukan Malaysia, Khazanah akan terus komited membina kapasiti dan komuniti berdaya yang bertujuan untuk meningkatkan penciptaan nilai kemasyarakatan yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

"Inisiatif-inisiatif ini akan ditentukan berdasarkan landskap masyarakat semasa dan akan dilakukan sama ada secara langsung atau menerusi entiti kami seperti Yayasan Hasanah, Khazanah Research Institute, Taman Tugu, dan Yayasan Khazanah," kata beliau.

Pada 2021, Khazanah terus mengembangkan nilai portfolionya dengan nilai aset bersih meningkat kepada RM86 bilion daripada RM79 bilion pada 2020 bersamaan kadar pertumbuhan terkumpul tahunan (CAGR) sebanyak 5.8 peratus sejak tahun 2004.

Khazanah telah mencatat keuntungan daripada operasi sebanyak RM670 juta berbanding RM2.9 bilion pada tahun 2020. Penyusutan keuntungan ini disebabkan bantuan kewangan berterusan yang disalurkan kepada syarikat syarikat dalam sektor penerbangan dan pelancongan miliknya yang berdepan dengan cabaran akibat pandemik Covid-19.

Khazanah telah mengisytiharkan dividen berjumlah RM2 bilion untuk menyokong usaha kerajaan dalam menangani pandemik itu. - Bernama