Sembilan sekolah terjejas akibat banjir di Baling: Mohd Radzi

Keadaan salah sebuah sekolah yang terjejas akibat banjir di Baling, Kedah - Foto Facebook Dr Mohd Radzi/Gambar kecil: Mohd Radzi
Keadaan salah sebuah sekolah yang terjejas akibat banjir di Baling, Kedah - Foto Facebook Dr Mohd Radzi/Gambar kecil: Mohd Radzi
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak sembilan sekolah di Baling, Kedah dilaporkan terjejas akibat banjir yang berlaku di daerah itu sejak Isnin.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ekoran itu pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baling membuka sekolah yang tidak terkesan untuk dijadikan pusat penempatan sementara (PPS) mangsa banjir.

"Kejadian banjir di daerah Baling yang berlaku petang semalam (Isnin) turut menjejaskan sekolah bawah Kementerian Pendidikan di kawasan terlibat.

Sebanyak sembilan sekolah di Baling terjejas akibat banjir sejak Isnin. - Foto Facebook Dr Mohd Radzi
Sebanyak sembilan sekolah di Baling terjejas akibat banjir sejak Isnin. - Foto Facebook Dr Mohd Radzi

"Sehingga kini terdapat lebih sembilan buah sekolah yang dilaporkan terkesan dan JPN Kedah serta PPD Baling telah diminta bersiap sedia untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk membuka sekolah untuk dijadikan pusat penempatan sementara mangsa banjir," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, dua buah kampung di Mukim Kupang dilanda banjir pada petang Isnin selepas hujan lebat kira-kira tiga jam.

Dalam pada itu Mohd Radzi memberi jaminan akan terus memastikan kebajikan warga pendidikan yang terkesan diberikan perhatian sewajarnya.

"Saya akan terus mengikuti perkembangan situasi ini. Sama-sama kita doakan semoga banjir tidak berlarutan dan usaha membantu serta menyelamatkan penduduk terlibat dipermudahkan," katanya.