MAIPk terima zakat perniagaan RM11.8 juta

Sultan Nazrin berkenan menyerahkan cek-cek pembayaran zakat perniagaan daripada syarikat korporat kepada Mohd Annuar di Istana Changkat Persekutuan, Kuala Lumpur.
Sultan Nazrin berkenan menyerahkan cek-cek pembayaran zakat perniagaan daripada syarikat korporat kepada Mohd Annuar di Istana Changkat Persekutuan, Kuala Lumpur.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM11.8 juta daripada 10 syarikat korporat untuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Changkat Persekutuan, Kuala Lumpur pada Isnin.

Menerusi kenyataan akhbar oleh MAIPK pada Selasa, penyerahan itu didahului oleh Lembaga Tabung Haji yang diwakili Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan Tabung Haji, Mustakim Mohamad dengan jumlah bayaran RM7.17 juta diikuti FGV Holding Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor dengan jumlah zakat perniagaan RM1.2 juta.

Bayaran zakat perniagaan diteruskan daripada Bank Rakyat yang diwakili oleh Ketua Pegawai Kewangan mereka, Nor Haimee Zakaria berjumlah RM878,540.

Turut menunaikan zakat perniagaan adalah Etiqa Family Takaful Berhad dan Etiqa General Takaful Berhad berjumlah RM695,330 yang diserahkan oleh Ahli JawatanKuasa Syariah, Profesor Datuk Dr Mohd Azmi Omar.

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) juga menyerahkan berjumlah RM592,374 melalui Ahli Jemaah Pengarah, Datuk Aimi Jusoh.

Penyerahan zakat perniagaan bagi Bank Islam Malaysia Berhad pula diwakili oleh pengerusinya, Tan Sri Ismail Bakar dengan jumlah zakat RM435,000.

Selain itu, pihak Boustead Plantations Berhad turut menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM296,623 yang diserahkan oleh Pengarah Boustead Plantations Berhad, Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Khairuddin Abu Bakar.

Turut menunaikan zakat perniagaan adalah Bank Muamalat Malaysia Berhad yang diwakili Ketua Jabatan Syariah, Mohd Izuwan Mahyudin berjumlah RM276,734.

Serahan zakat terakhir diterima daripada R & Z Enterprise dan Sinar Beseri masing-masing diwakili oleh Azim Radin Mustapha Amiruddin dan Shahril Azwan Mutadho menyerahkan zakat berjumlah RM200,000 dan RM125,000.

Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin; Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini; Anggota MAIPk, Profesor Datuk Dr Ansary Ahmed dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari.