Pemaju, kontraktor diberi tempoh tiga bulan selesai masalah

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor Land Berhad (JLand) dan kontraktor yang bertanggungjawab menyelenggara Pangsapuri Impian Jauhar di Bandar Baru Majidee di sini perlu menyelesai semua masalah di kediaman berkenaan dalam masa kurang tiga bulan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, ini kerana semua masalah dibangkitkan adalah serius seperti rumah retak, paip air bocor, lif rosak dan tekanan air rendah yang melibatkan keperluan asas penduduk.

"Kerajaan negeri bagi tempoh kepada pemaju dan kontraktor berkenaan untuk selesaikan segera masalah ini. Daripada 320 unit rumah yang ada di pangsapuri ini, 179 rumah yang retak sudah dibaiki manakala 15 lagi akan diselesaikan segera.

"Mereka perlu simen tempat yang retak sebelum cat semula. Sementara masalah lif rosak sudah dibaiki hari ini dan dimaklumkan semua lif di blok satu dan blok dua pangsapuri ini sudah boleh berfungsi," katanya.

Mohd Jafni (kiri) bersama-sama pihak pengurusan tertinggi Jland, kontraktor dan penduduk mengadakan perbincangan masalah di Pangsapuri Impian Jauhar, Bandar Baru Majidee, Johor Bahru pada Isnin
Mohd Jafni (kiri) bersama-sama pihak pengurusan tertinggi Jland, kontraktor dan penduduk mengadakan perbincangan masalah di Pangsapuri Impian Jauhar, Bandar Baru Majidee, Johor Bahru pada Isnin

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pertemuan dengan penduduk, pihak pengurusan tertinggi JLand selaku pemaju dan kontraktor terbabit di pekarangan pangsapuri berkenaan pada Isnin.

Pada Isnin Sinar Harian melaporkan, penduduk kecewa kerana tidak sampai setahun menghuni di pangsapuri itu, bahagian dalam dan luar rumah, tangga, koridor dan luar bangunan retak selain paip air bocor, lif rosak serta tekanan air rendah.

Banyak aduan sudah dibuat tetapi tiada tindakan konkrit sehingga penduduk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan Jabatan Diraja Johor pada Ahad agar masalah itu sampai kepada Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pangsapuri itu merupakan program Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim dan merupakan hadiah daripada Sultan Johor kepada rakyat negeri ini dengan bayaran deposit RM1 sempena Hari Keputeraan Baginda pada 2017.

Mengulas lanjut, Mohd Jafni berkata, masalah tekanan air akan diatasi dengan membeli pam air buatan tempatan atau diimport dan pihak kontraktor memohon masa kira-kira 10 minggu untuk menyediakannya.

"Mereka perlu melihat keseluruhan sistem perpaipan yang ada bagi mengatasi masalah ini termasuk bahagian paip air yang bocor dengan menggunakan kaedah 'water proof'. Penghuni kena beritahu semula kontraktor kawasan mana yang bocor," katanya.

Bagi masalah lain yang dibangkitkan iaitu ketiadaan pengawal keselamatan, beliau berkata, pihak kontraktor berjanji akan menyediakan dua pengawal keselamatan pada sebelah siang dan seorang pada sebelah malam.

Jelasnya, ini bagi menangani masalah kecurian dan menjamin keselamatan penduduk di pangsapuri tersebut selepas dua pengawal keselamatan sebelum ini tidak lagi datang bekerja.

"Saya akan pantau dan datang semula ke pangsapuri ini minggu depan untuk melihat perkembangannya. Kalau kontraktor yang ada tidak 'perform' kita akan tukar dengan kontraktor lain.

"Kontraktor juga perlu bertanggungjawab menyelenggara landskap di sini. Penduduk sudah membayar kos penyelenggaraan RM106 sebulan tetapi kontraktor tak buat kerja, beri alasan tak cukup pekerja.

"Penduduk membuat aduan semua masalah ini sejak enam bulan lalu," katanya.

Tambah beliau, satu kumpulan WhatsApp melibatkan masing-masing dua wakil pemaju, kontraktor dan penduduk akan diwujudkan bagi memastikan sebarang masalah atau masalah berbangkit dapat diselesaikan.

"Kerajaan negeri membantu kerana mereka masih belum menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

"Kerajaan negeri bertanggungjawab untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah sewa kerajaan yang berada di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," katanya.