Cukup-cukuplah beri saranan ‘jelik’

Antaranya kenyataan tular di laman sosial yang menyarankan orang ramai mengurangkan pengambilan telur berikutan kenaikan harga makanan berkenaan.- Gambar hiasan Foto 123rf
Antaranya kenyataan tular di laman sosial yang menyarankan orang ramai mengurangkan pengambilan telur berikutan kenaikan harga makanan berkenaan.- Gambar hiasan Foto 123rf
A
A
A

PENINGKATAN harga barang mutakhir ini begitu meresah rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Rasa tidak puas hati itu diluahkan dalam nada yang sama dalam media sosial.

Seperti diketahui umum, peningkatan harga barangan yang dipengaruhi pelbagai faktor termasuk kesan di peringkat global seperti kekangan rantaian bekalan dan peperangan di Rusia-Ukraine, mengakibatkan negara kita juga terpaksa berdepan dengan tempias tersebut.

Pada 24 Jun lalu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin melaporkan inflasi makanan melonjak 5.2 peratus.

Hampir 93 peratus barang makanan yang dipantau telah merekodkan kenaikan harga yang sememangnya kita tahu seluruh dunia mengalami masalah yang sama.

Di sebalik kesusahan rakyat untuk menghadapi kenaikan harga barangan yang di luar kawalan ini, pihak yang berwajib seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan atau saranan yang boleh mengundang kemarahan.

Sejak kebelakangan ini ada sahaja saranan 'jelik' yang dikeluarkan, antaranya kenyataan tular di laman sosial yang menyarankan orang ramai mengurangkan pengambilan telur berikutan kenaikan harga makanan berkenaan.

Warganet tak tunggu lama untuk menyelar kenyataan berkenaan, ia bukan solusi yang diperlukan ketika kenaikan harga barangan semakin menghimpit rakyat.

Insiden 'tersasul' mengeluarkan kenyataan sebegini bukan pertama kali berlaku, jika sebelum ini rakyat disarankan menanam sayuran sendiri, walaupun ada betulnya tetapi dalam keadaan yang mencengkam kini, elok rasanya pihak yang berkenaan ‘tutup mulut’ seketika.

Buka sahaja media sosial, bermacam-macam parodi boleh ditonton, sinis menyelar apa yang disarankan.

Ditambah lagi dengan insiden beberapa pemimpin politik yang tak habis-habis galak mengeluarkan kenyataan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pembubaran kerjasama politik, malah ada pemimpin parti bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membincangkan tentang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Seolah-olah survival politik mengatasi segala masalah yang berlaku dalam negara ketika ini.

Kenyataan-kenyataan yang tidak 'masuk akal' sebegitu hanya mengundang cemuhan rakyat, malah mereka secara tidak langsung hilang kredibiliti di mata pengundi.

Banyak lagi kaedah yang boleh diutarakan yang mampu mengurangkan sedikit kegusaran rakyat.

Tidak keterlaluan jika mereka memahami perit rakyat yang menolak troli penuh tapi kepala sarat memikir tentang kos sara hidup yang semakin mencengkam.

Ada rakyat yang mendapat gaji hari ini, esoknya gaji yang ada cukup-cukup makan selepas membeli semua keperluan harian dan membayar semua hutang piutang.

Jika dahulu boleh membeli barang dapur dua kali sebulan, kini beli sekali sebulan pun mereka terpaksa berkira-kira.

Kita tidak boleh salahkan rakyat sepenuhnya konon tidak memahami apa yang berlaku, tidak berjimat cermat apa yang ada kerana golongan ini yang 'live' berhadapan kenaikan harga barang yang bukan hanya melibatkan harga telur, ayam dan minyak masak.

Denyut nadi keperitan itu, hanya mereka yang mengalaminya sahaja yang faham.

Penulis percaya ada golongan rakyat yang mungkin tidak terkesan dengan kenaikan yang berlaku, ini dapat dilihat ada yang masih lagi boleh membeli belah barangan 'kehendak', malah premis-premis makanan ternama juga menjadi tumpuan, panggung wayang juga tidak sunyi dengan kehadiran penonton ketika ini.

Yang tidak terkesan itu ada dan kita tidak nafikan, tetapi kesusahan segolongan lain, tidak boleh dipandang sebelah mata.

Jika tidak diatasi segera, kita bimbang statistik individu yang mengambil langkah singkat untuk lari daripada masalah yang dihadapi semakin meningkat.

Namun, kenyataan Ismail Sabri pada Ahad bahawa kerajaan tidak akan membiarkan rakyat ‘ikat perut’ dalam isu kenaikan harga barang dilihat sedikit melegakan.

Rakyat tahu Ismail Sabri cuba melakukan yang terbaik untuk mereka, namun sikap segelintir pemimpin politik dan pihak tertentu yang tidak sensitif dengan isu menyebabkan rakyat sedikit 'panas' dengan apa yang keluar daripada mulut mereka.

* Wan Rosida Wan Hamad ialah Content Editor Sinar Harian