Sila log masuk terlebih dahulu.

Sistem tanpa tunai boleh perbaiki Indeks Persepsi Rasuah

Pelaksanaan sistem tanpa tunai memberi manfaat yang lebih kepada rakyat kerana mereka boleh melihat kawalan harga serta membandingkan harga-harga menggunakan rekod di dalam e-dompet. - Foto Bernama
Pelaksanaan sistem tanpa tunai memberi manfaat yang lebih kepada rakyat kerana mereka boleh melihat kawalan harga serta membandingkan harga-harga menggunakan rekod di dalam e-dompet. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan sistem tanpa tunai secara menyeluruh menerusi Inisiatif Malaysia Digital dilihat mampu memperbaiki Indeks Persepsi Rasuah negara pada masa akan datang.

Profesor Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed daripada Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, menerusi sistem tanpa tunai, setiap transaksi itu dapat direkodkan sementara kebanyakan pihak memberi atau menerima suapan secara tunai.

"... bila sudah tiada tunai maka wang fizikal tidak ada. Jadi setiap transaksi itu direkodkan dan tentu sekali kadar rasuah akan berkurangan secara signifikan dengan memperluaskan teknologi (sistem tanpa tunai) ini kepada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk 'Inisiatif Malaysia Digital: Memacu Ekonomi Digital Dunia', pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Usahawan Mikro (AUM), Abd Azharee Abdul Wahid.

Selain itu, Anuar Shah berkata, pelaksanaan sistem tanpa tunai juga memberi manfaat yang lebih kepada rakyat, termasuk pelanggan dan peniaga, kerana mereka boleh melihat kawalan harga serta membandingkan harga-harga menggunakan rekod di dalam e-dompet.

Beliau turut mencadangkan kepada kerajaan supaya meneruskan bantuan tunai RM100 sebulan selama tiga bulan, seperti Program Prihatin Kasih, secara e-dompet atau melalui kad pengenalan e-tunai, dengan syarat hanya untuk membeli barang keperluan harian sahaja.

"... sebab nilai RM100 tunai dengan dalam e-dompet ini berbeza. Bila kita menggunakan e-dompet, ada ganjaran dan akhirnya dikreditkan ke dalam bentuk tunai juga. Mekanisme untuk meramaikan lagi rakyat menggunakan teknologi ini memberikan ruang dalam konteks bantuan tunai itu dikreditkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abd Azharee berkata dalam konteks usahawan, mereka perlu berani dan membuka minda masing-masing supaya bersedia untuk beradaptasi dengan teknologi, terutama ekonomi digital dalam memasarkan perniagaan mereka.

Beliau berkata, adaptasi dan ketersediaan itu perlu disegerakan oleh golongan usahawan untuk memastikan perniagaan mereka tidak ketinggalan pada masa akan datang.

"Teknologi kini menguji tahap kesedaran dan ilmu usahawan untuk memastikan apa ruang dan peluang yang dalam ekonomi digital boleh diadaptasikan secepat mungkin dan digunakan untuk memperbaiki proses perniagaan masing masing.

Tidak kisah sekecil mana penggunaan e-dompet, yang penting ketersediaan usahawan untuk mengadaptasi (dengan ekonomi digital), jika tidak kita mungkin akan ketinggalan berbanding negara lain,” katanya. - Bernama