Sila log masuk terlebih dahulu.

Pemilihan PKR: Zaliha tidak perlu berbicara soal integriti

Farhash Wafa Salvador
Farhash Wafa Salvador
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak melahirkan rasa kecewa dengan sikap Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Dr Zailah Mustapa yang didakwa ‘melindungi’ proses pengundian yang tidak telus dalam pemilihan parti itu.

Menurutnya, situasi itu dapat dilihat apabila JPP seakan-akan tidak mengendahkan isu yang dibangkitkan membabitkan keraguan dalam proses pengiraan undi.

Malah kata bekas Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, kenyataan JPP bahawa audit mendapati ada cubaan menggodam sistem, bukannya menyelesaikan isu ketelusan seperti yang dikehendaki ramai pihak

Ini kerana katanya, kebanyakan bantahan tidak mempersoalkan sama ada sistem digodam atau tidak tetapi apa yang dibangkitkan adalah mengenai kebarangkalian berlaku manipulasi oleh pihak dalaman ke atas keputusan yang diterima.

“Permintaan untuk kekhuatiran yang berbangkit mengenai perkara ini diatasi dengan mudah dan telus adalah untuk satu kiraan semula semua undi, baik fizikal mahupun dalam talian, diadakan di hadapan saksi terdiri dari calon, wakil mereka dan pihak ketiga.

“Permohonan untuk ketelusan ini langsung tidak diendahkan, malah kami dapati dari sumber dalaman JPP sendiri bahawa audit forensik ini tidak menyentuh pun undi-undi dalam talian yang menimbulkan kontroversi ini.

“Malah Dr Zaliha sendiri kini dilihat berkompromi untuk melindungi proses-proses yang tidak telus ini, maka tidak perlulah beliau berbicara soal integriti kerana ia tidak wujud dalam konteks pemilihan parti ini dan permohonan untuk ketelusan pun ditolak mentah-mentah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, sebagai sebuah parti yang menjunjung keadilan, perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku tetapi perlu segera mencari jalan penyelesaian.

Artikel Berkaitan:

“Terlalu banyak persoalan yang tidak terjawab dan sebelum kita berhadapan dengan rakyat dalam siri kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mungkin ada baiknya Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim meyakinkan anggota-anggota bahawa ini masih sebuah parti yang menegakkan ketelusan, keadilan dan integriti,” katanya.

Pada Isnin, JPP PKR mengumumkan senarai rasmi barisan kepimpinan baharu parti itu.

Keputusan yang dimuat naik melalui lawan web rasmi Pemilihan Keadilan 2022 itu menyaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dipilih sebagai Naib Presiden PKR.

Dua pemimpin lain yang turut memenangi jawatan itu adalah Chang Lih Kang dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.