X

Kindly register in order to view this article
!

Buruh rogol gadis bawah umur

Suspek dibenarkan direman 7 hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut selepas disyaki merogol gadis bawah umur.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut selepas disyaki merogol gadis bawah umur, dalam kejadian di sekitar bandaraya ini.

Suspek berusia 54 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.40 malam tadi di sebuah rumah di Jalan Hiliran, di sini, susulan laporan dibuat mangsa, 16, di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, semalam.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff bagi membolehkan suspek disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Menurut sumber, mangsa yang juga anak jiran suspek mendakwa sudah dirogol beberapa kali oleh lelaki itu, bagaimanapun, terpaksa berdiam diri kerana takut selepas diugut.

Jelas sumber, namun disebabkan tidak sanggup lagi menjadi 'hamba seks' suspek, mangsa nekad menceritakan kepada ahli keluarganya pada Sabtu.

"Mangsa mendakwa sebelum ini suspek akan ke rumahnya selepas mengetahui tiada sesiapa di rumah dan memaksa dia melakukan seks dengannya.

"Dakwa mangsa lagi, setiap kali ditolak permintaan itu, suspek akan mengamuk dan memarahinya," katanya.

Jelas sumber, mangsa mendakwa selepas merogolnya, suspek akan mengambil gambar dia yang tidak berpakaian.

"Sebelum meninggalkan rumah, suspek akan memberi sejumlah wang kepada mangsa dan mengugut agar tidak menceritakan kepada sesiapa tentang perbuatannya," katanya.