Pemerintahan PH resahkan rakyat: Najib

Najib bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Sabak Bernam Bersama Bossku di kawasan lapang bersebelahan Bangunan Umno Bahagian Sabak Bernam, di sini.
Najib bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Sabak Bernam Bersama Bossku di kawasan lapang bersebelahan Bangunan Umno Bahagian Sabak Bernam, di sini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Rakyat negara ini sudah mula merasai bebanan kos sara hidup dalam tempoh 10 bulan pemerintahan PH.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat semakin merindui pemerintahan BN dan ada dalam kalangan mereka menyesal kerana mengundi PH yang hanya meraih kemenangan dengan menabur finah dan pembohongan.

"Saya percaya kebangkitan rakyat ini bukanlah kerana ada sesuatu yang dilakukan secara terancang.

"Rakyat tunggu bila minyak nak turun dan bila tol nak dihapuskan, rakyat tunggu bila BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) nak naik.

"Selain itu, generasi muda tunggu bila PTPTN nak dihapuskan, mereka tunggu bila jawatan pekerjaan nak diwujudkan, peneroka Felda menanti bila hutang Felda nak dihapuskan, selain kakitangan kerajaan menunggu kenaikan gaji tahunan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sabak Bernam Bersama Bossku di kawasan lapang bersebelahan Bangunan Umno Bahagian Sabak Bernam, di sini, hari ini.

Najib berkata, rakyat terutama penanam sawit puka semakin dibebani dengan kejatuhan harga komoditi itu di pasaran.

Katanya, semasa pemerintahan BN, beliau sedaya upaya meyakinkan negara besar tersebut bagi memastikan peneroka Felda dan penduduk kampung terbela.

Artikel Berkaitan:

"Masa zaman BN saya usahakan negara seperti China dan India beli sawit kita.

"Sebab itu harga sawit RM650 tan metrik, tetapi sekarang jatuh kepada RM250 tan metrik," katanya.

Beliau berkata, mentadbir negara bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan kebijaksanaan, pengalaman, kebolehan serta kepakaran tinggi.

"Hari ini, mereka boleh beli sijil sahaja dan menjadi menteri dan menteri besar. Bila tadbir negara, hari ini menteri cakap lain, esok timbalan menteri cakap lain," katanya.

Katanya, PH gusar dengan kebangkitan rakyat melalui fenomena 'Bossku' yang melanda seluruh negara.

Beliau memberitahu, fenomena Bossku amat diminati terutama dalam kalangan golongan muda kerana ia hasil cetusan idea daripada rakyat.

"Fenomena Bossku direka, diilham, dirancang, diolah dan dilaksanakan sendiri oleh rakyat.

"Sebab itulah kalau ia datang dari kerajaan tak dapat sambutan yang hangat, tetapi jika datang dari rakyat dan akar umbi tiada siapa boleh menghalang," katanya.