Dituduh dalang ketidakstabilan politik, Najib tempelak Wan Saiful

Najib. Gambar kecil: Tangkap layar hantaran di Facebook Najib pada Isnin.
Najib. Gambar kecil: Tangkap layar hantaran di Facebook Najib pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan kerana melabel dirinya dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai dalang disebalik ketidakstabilan politik negara ketika ini.

Beliau berkata, sedangkan parti yang mencetuskan ketidakstabilan adalah Bersatu itu sendiri dan ia terbukti melalui pelbagai tindakan yang dilakukan mereka.

“Yang turut tipu manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), parti mana? Yang buat langkah Sheraton, parti mana? Yang curi ramai ahli Parlimen dengan kaedah ‘scheme of things’ parti mana?

“Yang cuba kumpul #119 ahli Parlimen baharu-baharu ini untuk tumbangkan PM9, parti mana? Sekarang ada hati nak sembang kestabilan pulak?,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu turut mencabar Wan Saiful supaya ‘menekan butang’ sekiranya benar inginkan kestabilan yang sepatutnya.

“Sekiranya benar-benar mahu kestabilan? Mudah sahaja. Tekan butang,” ujarnya.

Wan Saiful pada Isnin melabelkan Ahmad Zahid dan Najib sebagai dalang di sebalik ketidakstabilan politik negara yang menurutnya sengaja dicipta untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Perang mulut antara pemimpin Bersatu dan UMNO khususnya Najib kembali panas susulan wujud gesaan supaya Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dibubarkan kerana didakwa gagal berfungsi.