Baja tinja ayam punca pencemaran bau

Longgokan guni baja jenis tinja ayam yang menyebabkan pencemaran bau kepada penduduk di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung pada Isnin
Longgokan guni baja jenis tinja ayam yang menyebabkan pencemaran bau kepada penduduk di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung pada Isnin
A
A
A

HULU SELANGOR - Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengenal pasti baja tinja ayam menjadi penyumbang kepada masalah pencemaran bau kepada penduduk di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung di sini pada Isnin

Yang Dipertuanya, Mohd Hasry Nor Mohd berkata, siasatan awal dijalankan pada jam 11 pagi mendapati terdapat longgokan guni baja di kebun pisang yang jaraknya 10 meter dari kawasan perumahan dan sekolah berhampiran.

"Sebanyak 1,600 guni baja jenis tinja ayam dilonggokkan di kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Hasry berkata, anggota operasi telah bertemu dengan pengusaha kebun yang memaklumkan baja tersebut digunakan untuk aktiviti tanaman 600 pokok pisang di kebunnya yang berkeluasan 1.6 hektar.

Jelasnya, pengusaha kebun terbabit turut memaklumkan dia menyewa tanah tersebut daripada pemaju dan tinja ayam yang digunakan pula telah dirawat selain dicampur dengan habuk kayu yang diperoleh daripada pembekal di kawasan Batang Kali.

"Pemeriksaan lanjut telah dijalankan dan mendapati tempat longgokan baja tinja (biru) adalah pengezonan pengangkutan dan institusi kemudahan masyarakat (pendidikan).

"Kawasan kebun (merah) adalah pengezonan institusi kemudahan masyarakat (kegunaan kerajaan).

"MPHS akan mengeluarkan Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan (Akta Kerajaan Tempatan 1976) bertempoh tujuh hari kepada pengusaha dan pemaju, selain laporan akan dipanjangkan kepada Jabatan Pertanian dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor untuk tindakan lanjut," katanya.