Kerajaan perlu campur tangan kenaikan tambang feri

Mohd Ikhmal (Laporan Sinar Harian berhubung kenaikan harga tiket feri di Pulau Pangkor pada Isnin.)
Mohd Ikhmal (Laporan Sinar Harian berhubung kenaikan harga tiket feri di Pulau Pangkor pada Isnin.)
A
A
A

IPOH - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menggesa campur tangan kerajaan untuk mengkaji semula kenaikan harga tambang feri ke Pulau Pangkor yang bermula pada 1 Julai lalu.

Pengarah Komunikasinya, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar berkata, peningkatan sebanyak 40 peratus itu dibimbangi akan merencatkan sektor pelancongan di Pulau Bebas Cukai itu.

Jelas beliau, pihaknya memandang serius terhadap kenaikan harga tambang feri ke Pulau Pangkor sama ada dari Jeti Lumut atau Jeti Marina itu lebih-lebih lagi dengan pemberhentian penerbangan ke Pulau Pangkor dari Subang sehingga Oktober depan.

"Tanpa sebarang perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan, pengusaha feri menaikkan kadar tambang ini dengan alasan mereka sudah lama beroperasi dalam kerugian.

"Pemuda Amanah Negeri Perak mendesak campur tangan kerajaan agar harga tambang ini dapat dikaji dalam mengurangkan beban rakyat seraya merangsang kedatangan pelancong yang lebih ramai ke Pulau Pangkor, Pulau Bebas Cukai yang paling dekat dari Kuala Lumpur," katanya.

Tambang bagi perjalanan dua hala ke Pulau Pangkor kini meningkat kepada RM20 berbanding RM14 sebelum ini bagi dewasa manakala kanak-kanak pula RM11 mulai 1 Julai lalu.

Kadar tambang baharu itu tertera dalam laman web easybook.com dan PangkorFerry.com yang menyatakan harga perjalanan sehala bagi dewasa RM10 manakala bagi kanak-kanak pula RM5.50.

Kenaikan harga tambang itu diakui oleh Operator Feri Jeti Lumut, Rositah Abdul Razak yang menjelaskan perkara itu tidak dapat dielakkan kerana peningkatan kos operasi mereka.