Geng Bajing curi kabel tumpas

Ahmad Ridhwan menunjukkan alat pemotong yang dirampas susulan tumpasnya Geng Bajing dalam serbuan di Bukit Changgang, Kuala Langat pada 29 Jun lalu.
Ahmad Ridhwan menunjukkan alat pemotong yang dirampas susulan tumpasnya Geng Bajing dalam serbuan di Bukit Changgang, Kuala Langat pada 29 Jun lalu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Geng Bajing didalangi warga Indonesia dan aktif dalam kegiatan curi kabel di sekitar daerah ini sejak empat bulan lalu akhirnya tumpas dalam serbuan di Bukit Changgang, di sini pada 29 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, geng terdiri daripada lima lelaki Indonesia ini ditahan dalam dua operasi berasingan bermula jam 12 tengah hari.

Menurutnya, siasatan mendapati salah seorang suspek berusia lingkungan 40-an adalah ketua geng terbabit yang dikenali sebagai 'Bajing'.

"Pada hari sama juga kira-kira jam 5.10 petang, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah menyerbu sebuah premis barang lusuh di Dengkil, Sepang.

"Empat lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan tiga warga Bangladesh disyaki pembeli barang hasil curi telah diberkas," katanya dalam sidang akhbar di IPD Kuala Langat pada Isnin.

Ahmad Ridhwan menunjukkan senjata api tiruan yang dirampas susulan tumpasnya Geng Bajing dalam serbuan di Bukit Changgang, Kuala Langat pada 29 Jun lalu.
Ahmad Ridhwan menunjukkan senjata api tiruan yang dirampas susulan tumpasnya Geng Bajing dalam serbuan di Bukit Changgang, Kuala Langat pada 29 Jun lalu.

Beliau berkata, dengan tumpasnya geng ini, polis telah merampas pelbagai barang dan peralatan untuk kegiatan curi kabel selain selaras senjata api tiruan.

Katanya, setakat ini, sebanyak lapan kes dikesan membabitkan kumpulan ini dengan jumlah kerugian mencecah RM300,000.

"Modus operandi geng menyasarkan tapak projek pembinaan dan bergerak menaiki motosikal untuk 'meninjau' lokasi tertentu. Apabila sasaran telah dikenal pasti, kenderaan pacuan roda akan digunakan bagi mengangkut kabel sebelum dijual di premis barang lusuh," ujarnya.

Tegasnya, suspek warga tempatan kini direman enam hari manakala warga asing direman 14 hari.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.