Kuota minyak masak bersubsidi mencukupi

Kuota minyak masak bersubsidi yang diperuntukkan masih mencukupi setakat ini. Gambar hiasan/Foto Bernama
Kuota minyak masak bersubsidi yang diperuntukkan masih mencukupi setakat ini. Gambar hiasan/Foto Bernama
A
A
A

BENTONG - Kuota minyak masak bersubsidi yang diperuntukkan sebanyak 55,000 tan metrik sebulan atau 660,000 tan metrik setahun mencukupi setakat ini, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat aduan yang diterima mengenai kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi dan pihaknya akan memanjangkan isu berkenaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut.

"Sebelum ini tak ada isu pun, cuma musim-musim tertentu seperti baru-baru ini dikatakan tidak cukup... kita kena lihat mengapa perkara ini berlaku... kerana dalam jumlah diperuntukkan memang cukup, tetapi apabila turun padang ke lapangan tak cukup minyak masak.

"Kita tahu peruntukan itu setakat ini tak jadi isu sebab untuk B40 minyak RM2.50 (sekilogram) itu tetap kita buat subsidi, tak ada kekurangan. Bagi pandangan saya, kalau benar tak cukup (bekalan minyak masak) boleh tambah kuota,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia di sini pada Isnin.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kerajaan Sarawak yang kini mengehadkan penggunaan tanah untuk penanaman kelapa sawit, Jeck Seng berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai perkara tersebut.

"Ia baru diumumkan dan kena bincang apa tujuan dan kesannya, kerana sawit juga adalah sumber pendapatan,” katanya.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilaporkan berkata, menerusi dasar yang sedang dilaksanakan, Sarawak akan menumpukan kepada usaha memperkasa industri makanan, selain mementingkan penggunaan teknologi seperti Internet Benda (IoT) dalam memaksimumkan hasil tanaman petani dan memberi nilai tambah kepada industri makanan.

Pada majlis itu Jeck Seng turut menyampaikan Sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Skim Bantuan Integrasi berjumlah antara RM3,000 hingga RM15,000 kepada pekebun kecil. - Bernama