Ahmad Zahid gagal tangguh prosiding pembelaan

Ahmad Zahid (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin untuk perbicaraan membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi berjumlah RM65 juta. - Foto Bernama
Ahmad Zahid (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin untuk perbicaraan membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi berjumlah RM65 juta. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menolak permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menangguhkan pemeriksaan balas pihak pendakwaan ke atasnya sementara menunggu keputusan rayuan, memutuskan bahawa tertuduh tidak akan diprejudis semasa pemeriksaan balas.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya berkata, tiada keadaan khas untuk membenarkan permohonan Ahmad Zahid bagi penangguhan.

"Tertuduh (Ahmad Zahid) bebas menemu bual saksi bila-bila masa, sebahagian daripada mereka adalah ahli keluarganya, malah pihak pendakwaan komited untuk membantu beliau. Beliau tidak dinafikan perbicaraan yang adil,” kata hakim.

Bekas timbalan perdana menteri itu memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding membela diri dalam kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) sehingga rayuannya untuk mendapatkan salinan percakapan saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diputuskan Mahkamah Rayuan.

Pemeriksaan balas terhadap Ahmad Zahid bermula Khamis lalu selepas beberapa hari memberi keterangan membela diri dalam kes itu.

Ketika menolak permohonan penangguhan itu, Hakim Sequerah berkata mahkamah terikat dengan kes terdahulu melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan beliau untuk akses kenyataan saksi yang dicarinya.

"Mengikut prinsip penentu dalam kes Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan yang sudah tentu mengikut mahkamah ini, saya mendapati pemohon (Ahmad Zahid) gagal memenuhi ambang yang ditetapkan.

"Permohonan ditolak, proses perbicaraan dan pemeriksaan balas terhadap tertuduh akan diteruskan," katanya.

Hakim Sequerah menangguhkan perbicaraan itu sehingga esok selepas peguam utama Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik memberitahu bahawa beberapa peguam yang mewakili anak guamnya tidak sihat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berhujah meneruskan prosiding itu di Mahkamah Tinggi tidak prejudis terhadap hak pemohon untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan tidak akan menyebabkan ketidakadilan.

Beliau berhujah bahawa pemohon tidak pernah dihalang daripada menyediakan dan meneruskan pembelaannya kerana saksi-saksi yang tersenarai dalam afidavitnya sama ada dikenalinya atau mempunyai pertalian darah dengannya.

"Ia adalah lebih bermanfaat kepada pemohon bahawa kesnya diteruskan di Mahkamah Tinggi kerana beliau akan mendapat peluang lebih awal untuk membela diri," katanya.

Raja Rozela menambah bahawa Ahmad Zahid berdepan dengan pertuduhan yang serius dan perbicaraan melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu diikuti oleh orang ramai.

Beliau berkata perbicaraan itu telah memakan masa tiga tahun dan permohonan itu adalah percubaan untuk menangguhkan penyelesaian awal perbicaraan itu.

"Perbicaraan ini juga mempunyai kepentingan awam dan nasional dan sebarang cubaan untuk menghalang kemajuan prosiding mesti ditolak," katanya.

Hisyam pula membalas bahawa permohonan itu bukan untuk melengahkan perbicaraan tetapi adalah untuk memastikan anak guamnya mendapat perbicaraan yang adil.

Beliau berkata kes itu melibatkan kepentingan awam dan Ahmad Zahid perlu memberi keterangan penuh dan lengkap semasa pemeriksaan utama sebelum pemeriksaan balas.

Berhubung kes itu yang telah berjalan selama tiga tahun sejak 2019, Hisyam berkata pihak pembelaan tidak harus dipersalahkan atas penutupan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa tercetusnya pandemik Covid-19.

Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. - Bernama