YPM peruntuk RM2.1 juta untuk tuisyen pelajar luar bandar

Mas Rizal (dua dari kanan) menyerahkan anugerah kepada pelajar cemerlang SPM 2020 pada Majlis Perasmian Program Tuisyen Pintar YPM @KPLB 2022 di MRSM Kubang Pasu, di sini, pada Isnin
Mas Rizal (dua dari kanan) menyerahkan anugerah kepada pelajar cemerlang SPM 2020 pada Majlis Perasmian Program Tuisyen Pintar YPM @KPLB 2022 di MRSM Kubang Pasu, di sini, pada Isnin
A
A
A

KUBANG PASU - [DIKEMAS KINI] Yayasan Pelajaran Mara (YPM) memperuntukkan sejumlah RM2.1 juta bagi melaksanakan Program Tuisyen Pintar YPM @KPLB khususnya pelajar luar bandar pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu, Tuisyen Pintar YPM @KPLB dengan penglibatan 6,000 pelajar itu akan dilaksanakan di 60 pusat tuisyen terpilih di seluruh negara.

Beliau memaklumkan, usaha ini digerakkan bagi memastikan pelajar-pelajar dari luar bandar tidak keciciran, sekali gus mendapat akses bimbingan secara percuma serta pendedahan akademik yang terbaik.

“Tuisyen ini diberikan secara percuma kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah terutamanya di luar bandar yang mempunyai tahap penguasaan akademik sederhana dan lemah.

“Malah, Program Tuisyen Pintar ini telah memberi manfaat kepada 80,581 pelajar luar bandar dan berjaya meningkatkan prestasi pelajaran mereka sejak dilaksanakan pada 2016,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menjelaskan, seramai 100 pelajar akan menyertai setiap pusat tuisyen dan menerima bimbingan terus daripada guru-guru pakar daripada kementerian atau Majlis Amanah Rakyat yang dikenal pasti oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta melibatkan 10 pertemuan.

Tambah beliau, pelajar terlibat akan diajar dengan teknik pembelajaran, menjawab soalan dan sesi motivasi bersama pelajar serta ibu bapa.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, Tuisyen Pintar YPM @KPLB 2022 adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) YPM dengan kerjasama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan PPD yang dilantik sebagai penyelaras bersama.

Mas Rizal (tengah) bergambar bersama pelajar dan penaja program Tuisyen Pintar dan program pendidikan dibawah YPM pada Majlis Perasmian Program Tuisyen Pintar YPM @KPLB 2022 di MRSM Kubang Pasu, di sini, pada Isnin.
Mas Rizal (tengah) bergambar bersama pelajar dan penaja program Tuisyen Pintar dan program pendidikan dibawah YPM pada Majlis Perasmian Program Tuisyen Pintar YPM @KPLB 2022 di MRSM Kubang Pasu, di sini, pada Isnin.

Beliau menyifatkan, usaha murni ini juga telah mendapat perhatian daripada syarikat-syarikat korporat yang telah mengiktiraf Tuisyen Pintar YPM @KPLB yang menyatakan hasrat menaja bagi tahun 2022 berikutan kejayaan program pada tahun-tahun sebelum ini.

“Sehingga kini, beberapa syarikat ataupun badan telah menyatakan persetujuan untuk menaja pusat tuisyen dan program Pendidikan dibawah kendalian YPM seperti Maybank Islamic Berhad.

“Antara lain, termasuklah Celcom Axiata Berhad, Yayasan Khazanah, Gas Malaysia Berhad, Ambank Islamic dan banyak lagi penaja lain yang turut serta,” katanya.

Sebelum itu, Majlis Pelancaran Rasmi Program Tuisyen Pintar YPM @KPLB 2022 disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi yang mewakili Menteri Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di MRSM Kubang Pasu, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi YPM, Datuk Razman Yaakob dan Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Mohd Amran Mohd Ariffin.

Pada majlis terbabit, beberapa penaja turut tampil menyerahkan sumbangan 'Mock Cheque' bagi program-program pendidikan YPM.

Turut disampaikan, anugerah kepada pelajar cemerlang SPM 2020 dan 2021, SPM (Fast Track Tahfiz) 2021 serta anak angkat YPM SPM 2021.

YPM sentiasa membuka ruang kepada syarikat korporat, agensi luar serta individu untuk sama-sama membantu dalam pembangunan pendidikan khususnya kepada pelajar-pelajar luar bandar.

Bagi tujuan tersebut, syarikat-syarikat korporat atau mana-mana individu yang ingin menyumbang, boleh berbuat demikian menerusi e-donation.ypm.org.my dan Touch’n Go eWallet.