OKU cacat penglihatan tewaskan 128 peserta beyblade

Khairul Anwar (tengah) ditemani ibunya, Maznah (kiri) dan bapanya, Zakaria (dua, kiri) menerima hadiah disampaikan Ketua Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan Dan Maklumat PPAT, Muhaisham Ibrahim (dua, kanan).
Khairul Anwar (tengah) ditemani ibunya, Maznah (kiri) dan bapanya, Zakaria (dua, kiri) menerima hadiah disampaikan Ketua Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan Dan Maklumat PPAT, Muhaisham Ibrahim (dua, kanan).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menewaskan 128 peserta lain dalam pertandingan Beyblade Battle yang diadakan di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.

Khairul Anwar Zakaria, 18, berkata, kemenangan itu adalah yang kedua selepas pernah menyandang juara dalam pertandingan dijalankan secara dalam talian sebelum ini.

"Saya sebenarnya masuk pertandingan ini sekadar suka-suka. Tidak sangka pula boleh jadi juara. Saya amat teruja dan bersyukur kerana ia merupakan pengalaman paling manis bagi saya, " katanya.

Khairul Anwar yang merupakan pelajar Tingkatan Lima, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, di sini membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM500 menerusi perlawanan itu.

Anak bongsu dari empat beradik itu berkata, minat terhadap beyblade mula bercambah selepas didedahkan menerusi pertandingan yang dianjurkan oleh persatuan orang cacat penglihatan.

"Selepas pertama kali cuba, saya tertarik kerana ia mampu memberi keseronokan dan menghilangkan tekanan.

"Saya terus berusaha menguasai cara bermain beyblade dengan mendengar perkongsian oleh mereka yang pakar dalam permainan ini melalui YouTube dan mempraktikkan sendiri dengan dibantu ibu," katanya yang tidak mampu melihat sepenuhnya akibat kerosakan saraf mata sejak berusia 13 tahun.

Sementara itu, ibunya, Maznah Mohamad, 55, berkata, dia dan suami, Zakaria Yunus, 58, menyokong minat anak bongsunya itu dan sentiasa menyuntik semangat supaya anaknya terus maju dalam apa jua yang diceburi.

"Saya dan suami sentiasa menyokong apa sahaja yang dia minat selagi tidak memudaratkan dan memberi kebaikan untuk dirinya.

"Pada mulanya saya sendiri tidak berapa faham permainan ini namun setelah diterangkan oleh Khairul Anwar saya mula faham dan turut mendalami permainan ini," katanya.

Menurut Maznah, dia tidak kisah memperuntukkan wang bagi mendapatkan beyblade yang berkualiti untuk anaknya.

"Pada mulanya saya hanya belikan dia beyblade murah. Lepas tengok dia minat dengan permainan ini, saya carikan yang original (asli). Saya pernah belanjakan sehingga RM100 untuk beli satu-satu beyblade yang berkualiti untuk dia. Pendek kata, harga bagi beyblade original RM50 ke atas.

"Walaupun agak mahal, saya tidak kisah asalkan anak saya dapat memanfaatkan permainan ini ke arah kebaikan. Sekarang dia ada kira-kira 50 koleksi beyblade, " katanya.

Perlawanan Beyblade Battle anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPAT) dengan kerjasama Kuala Terengganu Residen (Kuterer) dan Terengganu Beyblade Official (TEREBBO) itu berlangsung di ruang legar PPAT bermula jam 9 pagi, Sabtu lalu.

Ia turut disertai peserta dari daerah lain seperti Besut, Kemaman dan Dungun serta dari luar Terengganu iaitu Kuala Lumpur dan Kuantan.